Kontraktor Tak Berupaya Punca Lebuhraya Pan Borneo Di Sabah lewat 29.1% – Laporan Audit

PanBorneoHighway.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah (LPBS) bagi Jajaran Lahad Datu Bypass tidak mencapai objektif ditetapkan kerana penawaran tender terhad kepada 10 syarikat yang tidak memenuhi kriteria pemilihan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan semalam, perkara itu secara keseluruhannya menjejaskan pencapaian indeks prestasi utama (KPI) rakan pelaksana projek (PDP) dalam aspek tempoh penyiapan projek itu.

“…kontraktor yang tidak berkeupayaan telah dipilih, tindakan tidak diambil walaupun kontraktor tidak mematuhi syarat kontrak, terdapat isu pengambilan balik tanah tidak selesai dan pemantauan kurang berkesan.

“Prestasi fizikal keseluruhan projek LPBS bagi 11 WP (pakej kerja) semasa tarikh penamatan perkhidmatan PDP pada 21 Sept 2019 adalah 12.8% berbanding 41.9% yang dirancang, iaitu lewat 29.1%,” menurut dapatan audit terhadap Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Bagi prestasi Jajaran Lahad Datu Bypass pula, ia hanya mencapai 37.4% berbanding jadual sebanyak 45.7%, iaitu lewat 8.3% daripada jadual semasa PDP ditamatkan pada 21 Sept 2019.

Bagaimanapun, prestasi keputusan projek LPBS dan Jajaran Lahad Datu Bypass belum dapat dinilai kerana belum disiapkan setakat 31 Dis 2019.

Laporan itu mengesyorkan KKR memilih kontraktor yang belum ditawarkan pakej kerja dan menepati kriteria pemilihan seperti berkemampuan dari segi kewangan, keupayaan teknikal, pemilikan jentera dan mesin serta berpengalaman dalam kerja pembinaan berkaitan jalan raya.

Selain itu, KKR, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah perlu merangka pelan penyelesaian supaya urusan pengambilan balik tanah seperti hak milik, pampasan dan isu berkaitan tanah diselesaikan berdasarkan Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah sebelum pemilihan kontraktor.

“JKR Sabah sebagai pegawai penguasa selepas projek LPBS diambil alih pada Disember 2019 perlu mengkaji, mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap kontraktor untuk mengatasi punca kelewatan pelaksanaan kerja di tapak.

“Tindakan hendaklah diambil berdasarkan kontrak terhadap punca kelewatan yang dikenal pasti seperti kekurangan mesin, pekerja, tidak mematuhi program kerja dan tidak memberi maklum balas kepada notis bertulis.

“Selain itu, KKR hendaklah menambah baik proses bayaran agar kontraktor dapat dibayar dalam tempoh ditetapkan bagi melancarkan pelaksanaan projek dan tidak menjejaskan aliran kewangan kontraktor,” menurut laporan itu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top