KOTA KINABALU: Sikap konsisten Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini termasuklah berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), merupakan salah satu daya tarikan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Ketua penerangan parti itu, Jeffrey Kumin berkata, dengan unsur konsisten berkenaan, ia dilihat sebagai satu mekanisme parti untuk terus memperjuangkan isu setempat, meskipun STAR kini adalah sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN), berbanding menjadi pembangkang suatu ketika dahulu.
“Kekuatan parti STAR ini memanglah pusat dia itu daripada kami punya presiden sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebab dia punya perjuangan itu amat konsisten dari 1985 sampai hari ini,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Astro Awani.
Beliau dilaporkan berkata demikian demikian di ibu pejabat STAR, berhampiran Bukit Padang, Kota Kinabalu, pada Khamis.
Jeffrey juga berkata, parti itu kini bersiap siaga menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Menurutnya, situasi semasa di Sabah dan juga keputusan mahkamah mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak merencatkan persiapan parti tersebut untuk PRN.
“STAR Sabah sebenarnya memang sudah siap sedia sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.
” Selepas PRU-14 kita punya keahlian sudah banyak berkembang, kita punya keahlian pun sudah sekarang sedikit lagi mahu mencapai 300,000 keahlian dan lebih kurang sampai 50 bahagian seluruh Sabah. Justeru tidak keterlaluan saya katakan STAR Sabah bersedia menghadapi PRN sekiranya ia diadakan,” katanya.
STAR yang ditubuhkan sejak tahun 2015 dan merupakan sebuah parti berbilang bangsa. Pada PRU-14, parti itu telah bertanding 20 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen.
Daripada jumlah itu, STAR berjaya memenangi satu kerusi Parlimen (Keningau-Dr Jeffrey) dan dua kerusi DUN, (Tambunan-Dr Jeffrey) serta (Bingkor-Robert Tawik).
STAR mendapat tambahan satu kerusi DUN selepas bekas wakil rakyat BN, Datuk Ellron Angin (Sook) menyertai mereka pada tahun 2018.