Konsert Amal ‘Legends’ bakal gegar Kota Kinabalu, gabungan 11 artis ternama untuk kutipan dana Karyawan

konsert-legends.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Golongan artis di Sabah akan dibantu menerusi jelajah Konsert Amal, Legends yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 1 November depan.

Konsert anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini bertujuan mengutip dana untuk membantu golongan artis yang memerlukan di seluruh negara termasuk Sabah.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, persembahan ini dikendalikan oleh Datuk Khadijah Ibrahim atau Khaty yang juga Pengerusi Karyawan dan menampilkan 11 pemuzik dan penyanyi nama besar iaitu Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah, pemain gitar terkenal, Man Kidal dan Khadijah sendiri.

“Tahun depan Karyawan berusia 25 tahun. Selama tempoh ini kami cuba membantu mereka yang memerlukan dari dulu merangkumi ramai artis veteran.

“Semuanya dibantu ketika mereka hidup. Ini tugas Karyawan. Saya amat bersyukur dengan sokongan rakan lama, Khaty di mana saya pernah jadi pengurusnya dulu yang banyak membantu.

“Sebelum ini saya seorang yang tanggung tugas ini, tapi sekarang dibantu Khaty. Dia bawa nafas baharu untuk perjuangan kami. Apabila kami bergabung tenaga dan berganding bahu, macam-macam kami boleh buat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Khaty pula berkata, apabila dia tampil mengemukakan idea kepada Freddie, ia diterima dengan baik tanpa persoalan.

“Freddie terima kerana dia penat dan nak berehat. Bagi saya kalau tak buat sekarang bila lagi nak buat. Sementara ada tenaga, kita perlu melakukan yang terbaik.

“Saya adakan konsert untuk semua rakan artis dari Sabah seperti Hairee KOOL yang lahir di Sandakan. Alhamdulillah, sambutan setakat ini sangat okey terutama daripada golongan kenamaan di sana.

“Mereka sedia maklum tujuan kami untuk bantu rakan seperjuangan kami yang susah di Sabah seramai 15 orang. Syukur kerana artis lain seperti Datuk Jamal dan Datuk Ramli yang dianggap sahabat sanggup bantu. Mereka tahu apa yang saya nak lakukan,” katanya.

Menurutnya, selepas ini Karyawan akan menjelajah lokasi lain menerusi Konsert Sweet Charity dan Kopratasa di Melaka diikuti konsert lain di Perak dan Johor Bahru.

“Kami buat persembahan pentas kerana kami ada misi. Kami akan hasilkan kerja untuk artis kerana tak nak lagi dengar artis merayu, memohon bantuan.

“Kadangkala kami kuatkan perasaan kami sebagai artis yang berjaya kerana rasa sedih dan tampil membantu. Saya berterima kasih penaja yang bekerjasama dengan kami dan pertubuhan bukan kerajaan di Sabah yang bantu misi ini,” katanya.

Sementara itu, Jamal memuji usaha dilakukan Khaty dan menganggap bukan mudah menjual 250 meja kepada penonton.

Konsert berdurasi hampir tiga jam ini juga menampilkan penyanyi terkenal kelahiran Sabah seperti Jimmy Palikat, Ayu Damit, Azharina Azhar, Mad Sabah dan Daniesh Suffian.

Turut ditampilkan dalam persembahan di Kota Kinabalu nanti adalah penyanyi popular, Aina Abdul. – Nabalu News

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top