Komuniti 7 Kampung Di Kadamaian Mahu Teruskan Bantahan Hutan Simpan Wariu

Ewon.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Komuniti daripada tujuh buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian mahu meneruskan bantahan mereka ke atas pewartaan Hutan Simpan Sungai Wariu yang dibuat pada tahun 8 Disember 2016.

ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semalam telah menerima kunjungan daripada badan bertindak mewakili Kg Malangkap Noriou, Kg Melangkap Tiong, Kg Melangkap Kapa, Kg Melangkap Tomis, Kg Melangkap Baru, Kg Podos dan Kg Gensurai diketuai oleh Minsin Panis berkenaan bantahan tersebut.

Menurut Minsin, komuniti kampung mengemukakan semula bantahan tersebut selepas pegawai Jabatan Perhutanan Sabah menghubungi mereka berkaitan pengukutan persempadanan Hutan Simpan Sungai Wariu tersebut bulan lepas dan selepas Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Ewon semasa sidang DUN pada September lepas bahawa hutan simpan tersebut tidak akan dibubarkan.

Mengikut jawapan yang diberikan semasa sidang tersebut, Hutan Simpan Sungai Wariu Kelas I telah diwartakan pada 8 Disember 2016 melalui warta GN13/2016 dengan keluasan 247 hektar.

Sementara itu, Ewon menjelaskan bahawa pada bulan Mei tahun lepas beliau menerima memorandum bantahan daripada komuniti kampung tersebut dan telah membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 24 Julai 2020.

“Hutan Simpan Sungai Wariu ini telah diwartakan sebelum saya menjadi Wakil Rakyat pada tahun 2018. Saya sendiri juga tidak mengetahuai kewujudan hutan simpan ini sehingga saya menerima bantahan daripada komuniti kampung pada bulan Mei 2020 apabila petugas-petugas Jabatan Perhutanan datang ke kampung-kampung ini untuk membuat pengukuran sempadan.

“Seterusnya saya menyusuli perkara ini dengan pihak jabatan melalui perjumpaan di pejabat saya dan diberitahu ianya diwartakan sejak tahun 2016. Pejabat saya di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Kota Belud seterusnya mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua adat dan pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari kesemua tujuh kampung tersebut untuk menyediakan memorandum kepada Jemaah Menteri Sabah.

“Saya telah membentangkan memorandum tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 24 Julai 2020 dan dipersetujui agar bantahan tersebut diselesaikan mengikut dasar semasa Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurut Ewon lagi, dasar Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Shafie Apdal ialah mengeluarkan kawasan perkampungan daripada Hutan Simpan termasuk yang mempunyai tuntutan tanah adat yang kuat.

“Dalam tempoh 26 bulan Kerajaan Negeri pada masa itu yang melaksanakan dasar tersebut, seluas 3,300 hektar kawasan Hutan Simpan di seluruh Sabah telah dibubarkan untuk tujuan mengeluarkan 104 buah kampung yang telah lama berada dalam kawasan Hutan Simpan. Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada jemaah menteri yang membuat keputusan ini dan seterusnya telah dibentang, dilulus dan diwartakan di Dewan Undangan Negeri ketik itu.

“Itu sebabnya saya membawa bantahan komuniti tujuh kampung tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu dan amat yakin sekiranya tidak ada pembubaran DUN, sudah pastinya tanah adat di Hutan Simpan Sungai Wariu tersebut dikembalikan kepada komuniti kampung.

“Saya telah menyusuli perkara ini dalam sidang DUN pada bulan September lepas dan diberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini tidak bercadang membubarkan Hutan Simpan Sungai Wariu tersebut. Inilah dasar semasa kerajaan oleh Gabungan Rakyat Sabah,” kata Ewon.

Dalam perjumpaan dengan badan bertindak komuniti tersebut hari ini, Ewon menyatakan pandangan beliau bahawa pembubaran tersebut masih boleh diteruskan jika kabinet yang ada mengubah dasar mereka terhadap pembubaran Hutan Simpan yang berkonfik dengan komuniti atau boleh dicabar di mahkamah melalui tuntutan tanah adat oleh komuniti.

“Jika bantahan ini dibawa ke mahkamah selepas semua proses diplomasi telah dibuat, saya percaya tuntutan hak tanah adat itu akan mendapat penghakiman yang sewajarnya kerana Hutan Simpan Sungai Wariu diwartakan pada tahun 2016 sedangkan kampung-kampung tersebut telah wujud berpuluh tahun yang lepas dan telah mengusahakan sebahagian besar kawasan tersebut untuk pertanian,” kata Ewon.

Bagaimanapun, beliau menasihati badan bertindak tersebut agar menggunakan kesemua saluran diplomasi termasuk proses bantahan di peringkat Jawatankuasa Tindakan Daerah sebelum difikirkan dibawa ke mahkamah jika masih belum mendapat penyelesaian.

“Saya telah menghubungi Pegawai Daerah dan mencadangkan agar satu dialog dengan jabatan dan agensi Kerajaan dapat diadakan dengan komuniti di kampung tersebut supaya ada proses komunikasi dua hala memandangkan pewartaaan Hutan Simpan ini pada tahun 2016 dibuat tanpa pengetahuan komuniti kampung ketika itu. Pegawai Daerah telah memaklumkan akan memperhalusi syor dialog tersebut. Saya akan hadir apabila ianya diadakan,” kata Ewon. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top