Kompleks IADA Kota Belud dijangka dapat disiapkan menjelang 2027

IMG_20240307_120739-scaled.jpg

_cuva

Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Pembinaan Kompleks IADA Kota Belud dijangka akan dapat disiapkan menjelang tahun 2027 sekiranya proses tender dapat diselesaikan pada tahun ini.

Demikian kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat IADA Kota Belud.

“Kerja-kerja tapak sudah selesai dilaksanakan dan kita berharap JKR Sabah akan dapat membuka tender projek Pembangunan IADA Kota Belud pada tahun ini.

“Sekiranya projek ini berjaya ditender pada tahun ini, Kompleks IADA Kota Belud dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2027,” katanya.

Arthur turut menyatakan komitmen bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya Sabah bagi membincangkan alternatif untuk mempercepatkan lagi proses tender tersebut.

Mengulas lanjut, Arthur berkata kompleks tersebut bukan sahaja akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras negara, malahan akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik di mana aktiviti-aktiviti pembangunan kepada pesawah dapat diuruskan dengan lebih cekap.

“Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian, makmal analisis pertanian dan lain-lain.”

Pembinaan Kompleks IADA tersebut adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkasa peranan IADA dan membantu pembangunan negeri Sabah khususnya sektor tanaman padi di daerah Kota Belud.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM36 juta pada tahun 2022 bagi tujuan pembinaan berkenaan.

Di samping itu, KPKM juga telah berjaya untuk membawa masuk benih padi baharu Siraj MR 297 dan MR 269 ke negeri Sabah dengan kerjasama MAFFI untuk peningkatan SSL negeri Sabah dan pendapatan pesawah tempatan. Inisiatif ini akan memberi lebih banyak pilihan benih padi kepada pesawah kita di Sabah.

Buat masa sekarang, varieti padi tersebut berada di plot percubaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran bagi melihat keberkesanan dan potensi pengeluaran varieti padi tersebut.

Arthur berkata, beliau yakin benih padi yang baharu ini akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan pesawah.

Arthur turut berkesempatan beramah mesra bersama para pesawah di sekitar Kota Belud dan menyerahkan mock cheque Pembangunan Kawasan Sawah Padi (setakat Mac 2024) serta Jentera Pembajak dan Jentuai Padi Koperasi Pesawah Kota Belud dan juga bantuan bagi pembelian Pam Air dengan nilai keseluruhan berjumlah RM707,772.00 dan yang memberi manfaat kepada lebih kurang 600 orang pesawah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top