Komitmen Jabatan, Agensi Persekutuan Bantu Realisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya – Hajiji

hajiji-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Komitmen jabatan dan agensi Persekutuan di Sabah khususnya berkaitan bidang pertanian akan membantu merealisasikan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Katanya, pertanian merupakan salah satu daripada 3 teras dan sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi SMJ, selain perindustrian dan pelancongan.

Beliau berkata, selain Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan turut memikul tanggung jawab membantu pertumbuhan ketiga-tiga sektor utama itu.

“Bagi sektor pertanian, selain Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi persekutuan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah turut membantu menyediakan banyak insentif dan skim bantuan kepada petani di Sabah.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan insentif dan skim bantuan yang telah disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi LPP Sabah kepada petani dan peladang untuk membawa negeri ini ke arah kemajuan”, katanya.

Hajiji berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Pengarah LPP Sabah, Anita Haji Misuari dan rombongan di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), dekat sini.

Sementara itu Anita memaklumkan kepada Hajiji, LPP Sabah membelanjakan sebanyak RM62 juta pada tahun 2020 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada peladang di Sabah.

Katanya, daripada nilai RM62 juta peruntukan yang diluluskan, sebanyak RM47.751 juta adalah bantuan yang diurus oleh LPP untuk Skim Baja Padi bagi padi sawah dan padi bukit yang diedarkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Menurutnya, RM3.515 juta dibelanjakan untuk pengurusan, RM2.212 juta untuk pembangunan, RM6.071 juta untuk Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), RM1.375 juta untuk B40 dan RM1.076 juta untuk Akaun Khas.

Anita berkata, LPP Sabah juga menerima peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-12, tahun 2021.

Beliau berkata, kelulusan peruntukan itu melibatkan RM2.6 juta bagi Projek Pertanian Organik, RM962,500 untuk Modenisasi Estet Padi, RM600,000 (Projek Pertanian E-Satelit), RM450,000 (Pengukuhan dan Pemodenan Khidmat Mekanisasi Jentera), RM230,000 (Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise Up)), RM160,000 (Peningkatan Produktiviti Pertanian untuk Buah-Buahan), RM150,000 (Peningkatan Produktiviti Pertanian Untuk Sayuran).

RM100,000 (Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan), RM100,000 (Pemerkasaan Usahawan Peladang Agriprentice) dan RM35,000 untuk Pemerkasaan Rantaian Agro Makanan Pertubuhan Peladang.

Menurutnya, nilai bantuan dan insentif padi yang diuruskan oleh LPP Sabah pada tahun 2020 ialah RM23.435 juta untuk Skim Baja Padi Kerajaan, RM12.041 bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi, RM12.274 juta untuk Skim Baja dan Racun Padi Bukit dan RM191,357 untuk Insentif Pembajakan Kepada Pesawah.

Katanya, untuk Musim 1 dan 2, tahun 2020 Bantuan dan Insentif Padi itu memberi manfaat kepada seramai 27,239 pesawah dengan keluasan 34,872.708 hektar padi sawah. Manakala untuk padi bukit melibatkan 13,376 pesawah dengan keluasan 13,733.098 hektar.

“Bagi program dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE)- RM4.745 juta dibelanjakan untuk PRE Prihatin (Dana Khas Projek Agromakanan Pertubuhan Peladang), RM996,500 untuk Program Peningkatan Mobilisasi dan Logistik Bahan Makanan dan RM330,000 untuk Program Menaiktaraf dan Tambah Hayat Mekanisasi Ladang Sedia Ada”, katanya.

Menurut Anita, Sabah kini mempunyai 26 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan 770 Unit Peladang dan 80,184 ahli peladang.

Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Pengarah LPP Sabah, Tuan Haji Abdul Razak Said dan Ketua Unit Perancangan dan Penilaian LPP Sabah, Abdul Razak Haji Abdul Rashid.-pr/BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top