KENINGAU : Mohd Aqasya Mohd Puasa, pelajar teknologi automotif Kolej Vokasional Keningau, telah dianugerahkan hadiah pertama dalam kategori manga di festival seni di Argentina pada 5 Mei 2022.
Manga merupakan stail komik yang berasal dari Jepun yang mempunyai keunikan yang tersendiri.
Mohd Aqasya yang meminati komik manga ini telah menghasilkan berpuluh-puluh lukisan yang diilhamkan dari gaya lukisan komik Jepun itu.
Komik manga yang dihantarnya untuk pertandingan ini bertajuk “Kokok” iaitu makhluk ghaib yang mampu menjelma sebagai manusia dan meniru rupa paras serta ciri-ciri fizikal sesiapa sahaja.
Cerita ini yang diadaptasikan dari mitos dahulukala komuniti di Sabah telah diberi sentuhan moden dengan elemen komik manga.
Pengarah kolej itu, Johari @ Jaibet Sabin memuji usaha pelajar tersebut yang meneroka konsep lakaran yang merentas budaya dengan menerapkan seni moden Jepun dalam hasil karyanya.
Beliau berharap usaha seperti itu mampu memupuk penghayatan budaya dan nilai murni di kalangan pelajar berkenaan. – Sabah Post