KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF), anak syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah kini menawarkan biasiswa berjumlah RM3 juta kepada 100 pelajar pertama dalam kategori B40 yang mendaftar untuk pengambilan Julai 2022.
Pemangku Naib Cancelor UCSF Prof. Dr. Junaenah Sulehan berkata, pelajar yang layak bakal menerima tajaan yuran pengajian dan asrama serta elaun.
UCSF yang ditubuhkan pada 2014 menawarkan program diploma dan ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Prof. Dr. Junaenah berkata UCSF akan mengadakan sesi temuduga terbuka bagi pengambilan Julai dan September di lokasi terpilih untuk pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM yang ingin melanjutkan pelajaran mereka.
Menurutnya, pasukan Komunikasi Korporat dan Pemasaran akan berada di beberapa lokasi di seluruh Sabah.
Bermula di MB Hotel Tawau pada 14 Jun, diikuti Dewan Sipadan, Majlis Daerah Semporna pada 16 Jun, Harbour Mall Sandakan (18-19 Jun), Dewan Masyarakat Kota Marudu (21 Jun), Pisompuruan Square Tambunan (23 Jun), Dewan PKS Keningau (25 Jun), Dewan Pa’ Musa Beaufort (28 Jun) dan UCSF Sembulan (30 Jun).
Kesemua sesi bermula dari 9 pagi hingga 3 petang kecuali di Kota Kinabalu (kampus UCSF di Sembulan), yang dijadualkan bermula dari 9 pagi sehingga 4 petang.
Antara program diploma yang ditawarkan adalah dalam bidang Pengurusan Perhotelan, Pengurusan Pelancongan, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Pengajian Media, Animasi, Seni Skrin serta Seni Visual dan Reka Bentuk.
UCSF juga menawarkan program ijazah sarjana muda, antara lain dalam Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Lestari, Pengajian Pembangunan dengan Komunikasi Media, Pentadbiran Perniagaan dan Perakaunan.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Morsede Mohamad di talian 01126169717, Arbot Maakut di 0146605627 atau Pejabat Perhubungan Pelajar di talian 0177050173/ 088-511173.