Kodok Gunung Kinabalu ‘muncul’ kembali

kodok-kinabalu.jpg

Kodok spesies Ansonia guibei atau Kodok Anak Sungai Mesilau. (Foto: NSTP/Ihsan UMS)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Konservasi (ITBC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Taman-Taman Sabah menemui semula kehadiran Kodok Anak Sungai Mesilau, Kundasang, haiwan yang dikategorikan sebagai terancam, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan UMS, kelmarin, spesies kodok Ansonia guibei yang menghuni Gunung Kinabalu itu dibimbangi pupus selepas gempa bumi kuat yang berpusat di gunung tertinggi Asia Tenggara itu pada 2015.

Bencana alam itu yang menyebabkan tanah dan batuan runtuh, selain banjir lumpur turut memusnahkan habitat haiwan amfibia berkenaan yang sebelum itu mudah ditemui di sekitar Gunung Kinabalu.

Penyelidik ITBC, UMS, Prof Madya Dr Evan Quah yang mengetuai kajian baharu terhadap spesies itu pada tahun lalu berkata, kajian terdahulu di Mesilau, Kundasang pada 2017 gagal mengesan sebarang spesimen haiwan itu.

Katanya, ia menyebabkan spesies berkenaan disenaraikan sebagai haiwan terancam yang kritikal oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

“Dengan dana daripada Asian Species Action Partnership (ASAP), satu kajian baharu dilaksanakan pada akhir tahun lalu bagi menilai semula status spesies berkenaan.

“Hasil kajian itu pada September 2023, kumpulan penyelidik menemui semula satu spesimen Kodok Anak Sungai Mesilau separuh dewasa, selain berudu kodok berkenaan di Sungai Mesilau dan anak Sungai Tibabar, Kundasang,” kata kenyataan itu.

Penemuan itu disifatkan sebagai satu perkembangan yang positif memandangkan ia bukan saja menandakan spesies berkenaan selamat, malah membiak.

Evan berkata pasukan penyelidik terus memantau kehadiran kodok berkenaan di Mesilau bagi mendapatkan lebih banyak data ekologi mengenai spesies itu selepas gempa bumi, sembilan tahun lalu.

Katanya, spesies kodok berkenaan masih berdepan banyak ancaman, termasuk mempunyai julat yang sangat terhad dan hanya terhad kepada kawasan tadahan air Mesilau di Gunung Kinabalu yang menjadikannya terdedah kepada sebarang perubahan besar alam sekitar.

“Kedua, data awal yang dikumpul menunjukkan habitat kodok itu belum pulih sepenuhnya selepas gempa bumi pada 2015. Tanah runtuh masih kerap berlaku terutama ketika musim hujan.

“Air larian dan kelodak daripada tanah runtuh menjejaskan kualiti air di laluan air yang menjadi tempat kodok membiak.

“Akhir sekali, sama seperti endemik pergunungan yang lain, Kodok Anak Sungai Mesilau juga berdepan ancaman perubahan iklim.

“Sebagai spesies yang menghuni kawasan sejuk dan lembab di tanah tinggi, ia terdedah kepada perubahan yang dibawa pemanasan iklim,” katanya.

Berikutan itu, katanya data yang dikumpulkan menerusi kajian yang sedang dijalankan sangat penting dalam melaksanakan pelan konservasi bagi memastikan kesinambungan hidup spesies berkenaan.

Katanya, maklumat lengkap mengenai penemuan itu baru diterbitkan dalam jurnal Zootaxa pada minggu ini.

 

Sumber: BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top