PETALING JAYA: Kelab Media Johor (KMJ)memandang serius dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri dalam kempen parti politik Selasa lalu.
Pengerusinya, Mohamad Fauzi Ishak, berkata insiden itu menimbulkan kebimbangan mengenai isu keselamatan pengamal media yang membuat liputan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Pada 5 Sept lepas telah berlaku dua insiden melibatkan pengamal media dikasari beberapa pegawai pengiring menteri terbabit dalam dua acara kempen parti politik berasingan di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru.
“Beberapa pegawai pengiring telah menghalang beberapa pengamal media ketika sidang media menteri berkenaan diadakan, antaranya menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media tersebut.
“Pegawai pengiring juga bertindak mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas semasa sidang media.
“Suara wartawan wanita menjerit ‘jangan sentuh saya’ turut terakam dalam rakaman sidang media berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang jurugambar juga ditolak oleh pegawai pengiring ketika mengambil gambar pada sidang media.
Fauzi menegaskan insiden seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya berharap ia tidak berulang.
“Media seharusnya diberi peluang dan ruang untuk menjalankan tugas sebaiknya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya. – FMT