KM: Ubah SOP MERS 999

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mahu prosedur operasi standard (SOP) dalam Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 diubah, agar kejadian yang menimpa empat sekeluarga di Penampang, pada awal pagi Selasa lalu, tidak berulang.

Katanya, kejadian itu amat menyedihkan kerana isu keselamatan seperti kebakaran tidak seharusnya dirujuk ke Kuala Lumpur terlebih dahulu hingga mengambil masa untuk menyelamatkan mangsa.

“Sepatutnya, apabila tahu panggilan adalah dari Sabah dan ada kecemasan, kenapa tidak terus sambung ke pihak yang berkaitan seperti balai bomba di daerah atau negeri terbabit atau berikan nombor telefon yang boleh dihubungi.

“Tidak perlulah tanya banyak soalan kerana setiap panggilan ke MERS 999 sudah pasti membabitkan hal kecemasan. Kita kena peka dengan situasi dan dalam keadaan kecemasan, sudah pasti panik berlaku dan tiada masa untuk memberi semua maklumat yang diperlukan.

“Saya berharap SOP dalam MERS 999 diubah dan dipermudahkan termasuk terus sambung panggilan itu ke nombor atau daerah dan negeri yang terbabit,” katanya menerusi satu kenyataannya di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian pada awal pagi Selasa, membabitkan empat sekeluarga yang rentung dalam kebakaran rumah mereka di Taman Hungab, di Penampang.

Kebakaran mengorbankan empat sekeluarga berusia 15 hingga 50 tahun itu membabitkan dua beradik lelaki serta ibu bapa mereka.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada pasangan suami isteri, Matthew Wong, 50, dan Jecky Vun Kon Fong, 47, serta dua anak mereka, Brandon, 18 dan Eric, 15 tahun.

Dalam masa sama Ketua Menteri turut meminta orang awam agar turut menyimpan nombor penting seperti balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing, untuk memudahkan mereka meminta bantuan jika ada kecemasan.

“Selain MERS 999, simpanlah juga nombor balai polis, bomba dan hospital di kawasan masing-masing,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top