KM Sifatkan Bajet 2022 Sebagai Belanjawan Pemulihan Untuk Semua

hajiji-4.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan Belanjawan Negara 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai inklusif dan tidak meninggalkan mana-mana sektor dan sesiapa pun di belakang ketika negara terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Bajet Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera RM332.1 bilion adalah besar kerana tahun depan dijangka menjadi tahun pemulihan untuk semua sektor ekonomi yang terjejas akibat wabak tersebut.

“Kenaikan peruntukan kepada RM5.2 bilion untuk kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik serta pembangunan penjagaan kesihatan untuk Sabah adalah berita baik,” katanya.

Ketua Menteri berkata Sabah menghargai sensitiviti berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan negeri dengan mencadangkan RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Hajiji turut menyambut baik jaminan projek infrastruktur bernilai RM3.5 bilion, antaranya lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan tahun depan.

Cadangan pelepasan cukai dan insentif untuk pelbagai sektor dalam Belanjawan Negara yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan melengkapkan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita melihat Belanjawan Negara sebagai pelengkap Rancangan Malaysia Ke-12 dan kita mengalu-alukan cadangan peruntukan untuk Sabah tahun depan,” katanya selepas mengikuti pembentangan Bajet 2022 Negara pada Jumaat.

Hajiji turut mengalu-alukan subsidi RM209 juta yang berterusan untuk perkhidmatan pengangkutan udara di Sabah dan Sarawak.

Cadangan Kem Pasukan Gerakan Am (GOF) di Pagalungan benar-benar akan membantu dalam meningkatkan keselamatan sempadan antara Malaysia dan Indonesia, katanya.

Ketua Menteri juga mengalu-alukan cadangan peruntukan RM746 juta, sebahagian besar daripadanya untuk 112 projek menaik taraf sekolah-sekolah di Sabah.

Turut bersama beliau mengikuti pembentangan itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan pegawai kanan kerajaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top