KM Minta Pemain Industri Jalin Kerjasama Dengan Politeknik KK Wujudkan Pelajar TVET Terlatih

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap lebih banyak pemain industri di negeri ini menjalin kerjasama dengan Politeknik Kota Kinabalu bagi membantu melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama itu akan memberi kepentingan kepada industri itu sendiri yang mana mereka akan dapat mencari pekerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan mereka.

Katanya, kerajaan negeri turut menyokong penuh inisiatif yang diambil oleh Politeknik Kota Kinabalu bagi memastikan ia terus berkembang dan berdaya saing.

“Sebanyak 141 kolaborasi bersama agensi swasta dan jabatan kerajaan melalui pelbagai bidang. Ini adalah satu petunjuk yang baik kepada Politeknik Kota Kinabalu.

“Ini bermakna lebih banyak organisasi terutama daripada sektor swasta yang mengambil pelajar Politeknik untuk bekerja. Justeru, kita berharap Politeknik Kota Kinabalu akan terus melahirkan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dan relevan dengan kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Sambutan Jubli Perak Politeknik Kota Kinabalu yang berlangsung secara mata di sini pada Khamis.

Hajiji turut berasa gembira mengetahui sebanyak 17 program pengajian yang ditawarkan di peringkat sijil, pra-diploma dan diploma yang ditawarkan oleh Politeknik Kota Kinabalu.

Katanya, sehingga Disember 2019, Politeknik Kota Kinabalu telah melahirkan seramai 24,457 graduan TVET.

“Politeknik Kota Kinabalu yang ditubuhkan pada 1 Mac 1996 menjadi komponen penting dalam sistem pendidikan negeri khususnya dalam mempromosikan TVET kepada belia.

“Ramai belia kini menyedari kelebihan memperoleh kelayakan TVET yang sangat diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

“TVET bukanlah pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang, sebaliknya kerjaya berasaskan kemahiran yang ditawarkan menerusi pengajian TVET mampu menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana berjaya melahirkan pelajar yang sangat inovatif, cemerlang dalam sukan, budaya dan akademik sejak 25 tahun yang lalu.

“Walaupun program yang ditawarkan sedikit berbeza dengan Universiti Awam, namun Politeknik mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Kemahiran yang diperolehi oleh pelajar dapat digunakan sepanjang hayat selepas mereka memasuki alam pekerjaan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top