KM Minta Kerajaan Persekutuan Naik Taraf Hospital Tuaran

hajiji-hospital-tuaran.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf Hospital Tuaran sebagai hospital pakar.

Beliau berkata kedudukan Hospital Tuaran di jalan utama bagi pembinaan jalan Pan Borneo dan laluan utama yang menghubungkan Bandaraya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah, amat sesuai untuk dinaiktaraf sebagai hospital pakar.

“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak pembinaan yang mencukupi. Justeru, usaha menaiktaraf ke hospital pakar amat penting. Ini juga adalah permintaan tinggi daripada rakyat untuk mempunyai satu hospital pakar yang dilengkapi dengan kemudahan perubatan.

“Terutama ketika pandemik COVID-19 ini, usaha menaiktaraf Hospital Tuaran ini amat perlu dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman di sini pada Sabtu.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai serta Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.

Dengan menaiktaraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan) kerana belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang ini dan juga menjadi surgical base.

Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit

Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo. Hajiji juga turut melawat pusat ternakan udang galah di Kampung Shabandar, di sini.-pr/BN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top