KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah diminta untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan bagi memastikan adanya atlet pelapis pada masa akan datang di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor usaha ini boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan bagi mencari bakat baharu di seluruh negeri.
Katanya Kerajaan Negeri komited memajukan sukan di negeri ini kerana ramai atlet muda yang bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan pernah mengharumkan nama negara.
“Ini termasuklah pelayar negara, Rufina Tan, pemain golf negara, Ben Leong dan terkini dua perenang negara seperti Janetty John Fabian serta Loo Yie Bing.
“Kita juga ada atlet yang menang pingat emas di Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini seperti Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang, Jellson Jabilin akuatik terjun, Fatin Nur Fatehah Mat Salleh memanah dan Natahsya Soon bagi acara berbasikal.
“Justeru, saya meminta kementerian mencungkil lebh ramai bakat baharu dalam sukan agar ia ada kesinambungan dan pelapis, saya pasti ramai anak muda kita yang bebakat sama ada dalam olahraga, badminton, renang dan berbasikal yang boleh diketengahkan,” katanya pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah sempena Temasya Sukan SEA Ke-31 Hanoi 2021, di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu di sini, semalam.
Pada majlis itu Hajiji turut menyampaikan replika cek insentif kemenangan berjumlah RM71,450 kepada 23 pemenang pingat termasuk acara berpasukan yang mewakili kontinjen negara dalam Temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, baru-baru ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Mansur Asun.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2022 memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk pembangunan sukan termasuk prasarana dan fasiliti sukan tahun ini di Sabah.
“Program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga ke arah melakar nama negeri di peringkat antarabangsa, selain melahirkan lebih ramai atlet muda di negeri ini,” katanya.
Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet kerana menjadi wira negara atau rakyat yang terbaik daripada jumlah 32 juta penduduk Malaysia untuk mewakili negara ke temasya sukan berprestij peringkat Asia Tenggara itu.