KM Mahu SEDIA Terus Aktif Dalam Aktiviti CSR

hajiji-sedia.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang ditubuhkan pada tahun 2009, bukan berperanan sahaja merancang dan menyelaras aktiviti pembangunan di Sabah tetapi diminta terus aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata usaha SEDIA melancarkan program CSR untuk mengenal pasti kawasan yang penduduknya amat terjejas oleh pandemik COVID-19 dan mengedarkan bantuan bakul makanan kepada mereka, amat dialu-alukan.

“Usaha CSR oleh SEDIA ini juga dilihat sebagai mendukung usaha kerajaan negeri yang turut mengagihkan bantuan (termasuk bakul makanan) untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik ini, terutama di kawasan yang disasarkan.

“Menerusi Program Sumbangan CSR oleh SEDIA pada hari ini, sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung di daerah ini,” katanya di sini Ahad lepas.

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA turut menyampaikan bantuan bakul makanan itu kepada beberapa penduduk dalam majlis yang diadakan di Pusat Kebudayaan Bajau Samah di Kampung Lok Batik, di sini.

Yang turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif; Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasni Daya dan Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

Antara objektif program ini adalah untuk mengagihkan bantuan berupa bakul makanan kepada isi rumah yang dikenal pasti dan melambangkan solidariti usaha antara SEDIA, Kerajaan Negeri, dan petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan rakyat daripada pandemik COVID-19, selain membantu mempromosikan pendaftaran suntikan vaksin COVID-19.

Hajiji berkata, penularan pandemik COVID-19 di negara ini termasuk di Sabah menyebabkan peningkatan kadar penganguran, operasi perniagaan terjejas dan pergerakan rakyat juga tersekat dalam usaha membendung penyebaran virus berkenaan.

“Saya berharap dengan pelaksanaan program CSR ini dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara masyarakat di kawasan yang terlibat, kerajaan negeri dan SEDIA pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, SEDIA juga memastikan bahawa setiap usaha untuk mengedar bakul makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini yang ditentukan kerajaan.

SEDIA ditubuhkan pada 15 Januari 2009, melalui penerapan Enakmen Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah 2009, diberi kuasa yang diperlukan untuk berfungsi sebagai Pihak Berkuasa Sehenti (One-Stop Authority) bagi merancang, menyelaras, mempromosikan dan mempercepat pembangunan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).-pr/BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top