KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) untuk menangani keperluan industri tenaga negeri dan, dengan itu, memastikan daya tahan jangka panjang yang mampan untuk industri menjelang 2040.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan itu menggariskan pelan hala tuju strategik negeri dan inisiatif untuk bergerak ke hadapan, dengan kerajaan negeri menjangkakan untuk mengambil alih kuasa kawal selia bekalan kuasa dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan pada Januari tahun depan.
Beliau berkata kerajaan Sabah komited untuk memastikan SE-RAMP 2040 dilaksanakan secara sistematik dan berkesan dan di bawah rancangan itu, Majlis Tenaga Sabah yang dipengerusikannya akan ditubuhkan untuk memantau, menyokong dan memberi panduan bagi pelaksanaan inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
“Antara objektif SE-RAMP 2040 adalah untuk memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap, dengan akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga mampu milik, selaras aspirasi kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat sambil memastikan kemampanan untuk masa depan Sabah.
“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR) yang dilancarkan Ogos lalu,” katanya pada pelancaran pelan itu di sini hari ini.
Katanya, SE-RAMP 2040, yang digubal oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi trilema tenaga bagi memastikan ia terjamin, mampu milik serta kelestarian alam sekitar.
“Kita sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak sekian lama. Kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.
“Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), keperluan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Hajiji berkata, penubuhan ECoS melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Bekalan Gas 2023 berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan gas dan fungsi Suruhanjaya Tenaga daripada Kerajaan Persekutuan pada Januari tahun ini adalah sejarah bagi Sabah.
Katanya, ini menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).