KM Gembira Lebih Tumpuan Diberikan Kepada Sabah Dalam RMK12

hajiji-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menyaksikan Sabah mendapat lebih banyak tumpuan dalam program pembangunan lima tahun negara ini adalah bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan jaminannya kepada negeri ini.

Dalam menyambut baik RMK12 yang dibentangkan oleh Ismail Sabri di Dewan Rakyat hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, semasa sambutan Hari Malaysia baru-baru ini di sini, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa semua isu mengenai Sabah dan Sarawak terutama dari segi pembangunan dan yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diberi perhatian khusus.

“Kita gembira Perdana Menteri menunaikan kata-katanya mengenai pembangunan Sabah, antara enam negeri lain di negara ini yang diberikan tumpuan di bawah sembilan bidang fokus RMK12,” kata Ketua Menteri.

Membentangkan RMK12 #Keluarga Malaysia bertemakan ‘Makmur, Inklusif, Mampan’, Ismail Sabri mengatakan beliau komited untuk memastikan semua isu dalam semakan MA63 akan diselesaikan ke arah mempercepat pembangunan sosio-ekonomi di Sabah dan Sarawak.

“Kita sangat berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan garis masa untuk menyelesaikan semua isu dalam MA63 juga,” kata Hajiji.

Ketua Menteri juga mengalu-alukan jaminan Perdana Menteri bahawa Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain yang kurang maju akan menerima sekitar 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas di bawah RMK12.

“Ini pasti akan memastikan Sabah akan terus berada dalam arus perdana pembangunan negara,” kata Hajiji.

Beliau juga menyambut baik peningkatan keselamatan, khususnya di Sabah seperti yang digariskan di bawah Fokus Keempat RMK12 yang akan menyaksikan kem tentera baharu didirikan di Kota Belud dan Felda Sahabat, Lahad Datu serta Kem Batalion Pasukan Gerakan Am di Beluran .

Turut disentuh dalam RMK12 iitu ialah penaiktarafan grid kuasa elektrik Timur-Barat Sabah dan pembinaan loji janakuasa baharu untuk meningkatkan bekalan elektrik di negeri ini.

Katanya, walaupun Southern Link Grid (Grid Sambungan Selatan) yang dicadangkan tidak disebutkan dalam RMK12, Kerajaan Negeri berharap Southern Link Grid akan dipersetujui pada RMK12 kerana ia adalah projek keutamaan untuk Sabah.

“Kami juga gembira kerana pusat pemeriksaan kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan (CIQS) baharu akan dibina di sempadan Malaysia – Indonesia dalam RMK12.

Ismail Sabri telah mengumumkan bahawa pusat pemeriksaan CIQS baru akan dibangun di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan.

Pada Mac lalu, Ketua Menteri telah mengumumkan pembinaan CIQS baharu di sempadan Malaysia-Kalimantan, Indonesia sedang dalam proses, berikutan pengumuman Indonesia untuk memindahkan ibu negara Jakarta ke Kalimantan.

Turut termasuk di dalam RMK12 ialah program Jaringan Digital Nasional (JENDELA) di mana Sabah akan mendapat RM3.1 bilion untuk menaik taraf dan membina menara telekomunikasi baharu ketika negara bergerak menuju penembusan internet 4G dan 5G secara lebih meluas.

“Sabah menantikan program JENDELA ini kerana rakyat, terutama mereka yang tinggal di luar bandar sangat memerlukan liputan digital yang lebih baik,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Sabah juga bersetuju dengan cadangan penubuhan unit khas di Pejabat Daerah untuk menangani masalah kemiskinan sebagai antara langkah untuk membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan di kalangan masyarakat.

“Kerajaan Negeri setuju dengan pendekatan ini kerana ia selaras dengan rancangan kita,” katanya.

“Kerajaan Negeri juga menghargai kepekaan Persekutuan terhadap keperluan penjagaan kesihatan di Sabah seperti yang ditunjukkan dengan pengumuman bahawa klinik kesihatan baharu akan dibina di Penampang dan Beaufort, serta pusat darah wilayah baharu di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga menyambut baik projek jalan luar bandar Dudar – Taburan – Mandawang yang bernilai RM101 juta di Kota Belud sebagai sebahagian daripada rancangan transformasi kawasan luar bandar Kerajaan Persekutuan.

Mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas penekanan yang berterusan kepada Sabah, beliau juga berharap akan ada pemantauan yang dapat diukur dibuat kepada semua rancangan pembangunan dalam RMK12 di negeri ini.

“Kerajaan Negeri percaya ini adalah cara pemantauan yang efektif untuk memastikan pembangunan yang dirancang selesai dalam tempoh RMK12,” katanya.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, Hajiji memberi jaminan akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya agar program-program pembangunan RMK12 dapat dilaksanakan dengan jayanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top