KM Akan Lancar Tabung Pendidikan Negeri Sabah Esok

ghulam-haidar.jpg

Gulamhaidar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis (2 Jun).

Menurut pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar, penubuhan TPNS merupakan salah satu inisiatif penting yang dibentangkan dalam Pelan Transformasi Strategik Kumpulan Yayasan Sabah 2015 – 2023.

Inisiatif yang bertemakan “Peluang Penajaan Untuk Semua” akan menjadi asas kepada lebih ramai anak Sabah untuk mengikuti pengajian tinggi.

Tambahnya, usaha itu juga selaras dengan salah satu daripada tiga teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam melonjakkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Jika kita dapat membantu lebih ramai rakyat Sabah dalam memajukan pendidikan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, kita akan memperkasakan lagi kualiti pendidikan di negeri ini, yang merupakan komponen kritikal pembangunan modal insan. Hasilnya, golongan muda ini akan membantu menggiatkan sektor ekonomi seperti yang dibayangkan dalam rancangan SMJ,” kata Gulamhaidar.

Pada 9 Disember 2021, Dewan Undangan Negeri Sabah sebulat suara meluluskan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang memperuntukkan dana untuk pendidikan di Sabah. Enakmen itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

Penderma dana akan menerima pelepasan cukai mengikut subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

“Semua sumbangan dana akan disalurkan kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah melalui Perbendaharaan Negeri untuk mendapatkan pelepasan cukai 100 peratus. Dana itu kemudiannya akan disalurkan kepada Kumpulan Yayasan Sabah untuk proses penajaan pelajar yang layak,” kata Gulamhaidar.

Bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Hajiji atas kepimpinan beliau dalam merealisasikan TPNS. Penghargaan juga dirakamkan kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Arifin Arif, selaku pengerusi Jawatankuasa Pelaksana TPNS.

Jawatankuasa Pelaksana adalah kritikal dalam memastikan dasar dan garis panduan yang dibiayai oleh TPNS dilaksanakan selaras dengan objektif penubuhan dana.

Gulamhaidar juga mengulangi bahawa TPNS memerlukan sumbangan daripada badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu, dan hasil aktiviti kebajikan untuk memastikan kelestarian dana pusingan.

“Kumpulan Yayasan Sabah akan terus berusaha untuk meningkatkan pegangan dana pusingan secara konsisten agar setiap pemohon yang layak mendapat tajaan dalam membangunkan agenda pendidikan Kerajaan Negeri Sabah untuk rakyat negeri ini,” tambahnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top