KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah diharap dapat memberikan perhatian mengenai masalah kemudahan infrastruktur di semua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata pembangunan infrastruktur yang baik adalah kunci pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Katanya, Belanjawan Sabah 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM214 juta bagi tujuan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar.
“Saya melihat ia satu kesempatan bagi kerajaan negeri untuk memberi perhatian soal infrastruktur seperti air dan kemudahan jalan raya di Pulau Sebatik.
“Hal ini kerana, penduduk Pulau Sebatik telah terkesan dengan masalah bekalan air terputus dalam tempoh yang lama akibat kemarau, pada awal tahun ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2025, semalam.
Menurutnya, kira-kira 25,000 orang penduduk di Pulau Sebatik hanya bergantung sepenuhnya dengan air hujan, walaupun terdapat loji rawatan air di kawasan berkenaan.
Justeru katanya, saya memohon pihak KKR dan Jabatan Air Sabah (JAS) supaya mencari langkah drastik untuk mengatasi masalah air di kawasan Pulau Sebatik ini.
“Sebenarnya ada beberapa sumber air daripada kawasan tadahan hujan di Pulau Sebatik iaitu di Kampung Sungai Laba dan Mentadak Lama, tetapi belum lagi diusahakan untuk membekalkan air bersih.
“Sekiranya pihak KKR dan JAS memerlukan maklumat, boleh berhubung dengan pihak saya untuk kita sama-sama mengatasi masalah bekalan air bersih di Pulau Sebatik,” katanya.
Hassan turut berharap, projek membina loji rawatan air di Felda Gugusan Umas yang bernilai RM30 juta menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan dapat disiapkan mengikut jadual iaitu tahun 2026.
“Pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) yang diamanahkan sebagai pelaksana projek berkenaan diharapkan dapat memantau supaya ia berjalan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, Hassan juga berharap pihak KKR Sabah dapat menaiktaraf kemudahan jalan raya di kawasan Pulau Sebatik iaitu di Kampung Mentadak ke Bergosong yang sudah berusia lebih 20 tahun.
Katanya, jalan yang sedia ada sudah tidak sesuai untuk kegunaan penduduk ketika ini kerana ia telah dilalui jentera berat.
“Banyak jalan yang sudah rosak dan memerlukan naik taraf dengan segera supaya ia boleh digunakan oleh penduduk dengan selamat,” katanya.
Mengenai kesihatan rakyat pula, Hassan berharap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Kampung Serudung Laut.
“Saya mencadangkan supaya perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan ataupun dilakukan dengan melawat kampung berkenaan setiap bulan memandangkan lokasinya yang jauh.
“Justeru, saya berharap KPMKR dapat meneliti perkara ini kerana ia merupakan perkara yang sangat penting untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di pedalaman,” katanya.
— Hamzah Sanudin/Penerangan Gagasan Rakyat