SANDAKAN: Kementerian Kerja Raya Sabah bercadang melaksanakan caj perkhidmatan penyelenggaraan pembetungan di negeri ini bagi memastikan sistem pembetungan berada pada tahap optimum.
Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata undang-undang untuk tujuan itu akan digubal bagi menyatukan bil pembetungan dengan bil air.
“Di Sabah, kita tidak mempunyai akta untuk kutipan bayaran pembetungan. Kita akan sampai ke peringkat itu satu hari nanti (untuk pembayaran pembetungan) kerana pembetungan sangat penting kerana di mana-mana tempat di dunia, keutamaan mereka adalah kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek loji rawatan kumbahan dan pembinaan saluran paip pembetungan Sandakan, di sini pada hari Khamis.
Bung Moktar berkata caj pembetungan tidak akan terlalu tinggi supaya tidak membebankan orang ramai, tetapi rakyat perlu bertanggungjawab memastikan kesejahteraan bersama mereka.
Beliau turut meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri melihat bagaimana kaedah itu boleh diperluaskan ke perkampungan air.
Beliau berkata ia boleh sama ada dalam bentuk memberi kesedaran tentang kesihatan dan kebersihan kepada masyarakat atau menggalakkan rumah menggunakan tandas yang betul yang mempunyai sistem paip yang boleh menyalurkan kumbahan ke sistem pembetungan.
Projek yang dianggarkan bernilai RM221 juta itu dijangka siap pada 2025 dan akan memanfaatkan kira-kira 70,000 penduduk.