KKM Siasat Laporan Petugas Suntik Vaksin Dos 1 dan Dos 2 Berlainan Jenis

vaksin.jpg
Kongsi Bersama

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan kesilapan petugas memberi suntikan vaksin berbeza kepada seorang penerima di Kedah, Khamis lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pihaknya memandang serius perkara itu, biarpun belum ada laporan rasmi dibuat penerima vaksin terlibat.

“Berhubung dakwaan yang tular seperti laporan media semalam, kementerian masih belum menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan sekiranya perkara ini berlaku sudah pasti JKN Kedah akan memaklumkan kepada kita.

“Namun begitu satu siasatan menyeluruh akan dilakukan berhubung dakwaan itu dan sehingga hari ini, belum ada laporan diterima kementerian dari penerima vaksin itu.

“Di Malaysia kita tidak pernah dan tidak bercadang mengamalkan suntikan dua jenis vaksin berbeza , namun di luar negara seperti United Kingdom kajian campuran Astra Zeneca dan Pfizer telah dibuat dan ia tidak mendatangkan sebarang kesan kepada penerimanya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, satu kajian akan dibuat berhubung pemberian dos ketiga daripada jenis vaksin berbeza namun ia masih dalam peringkat perbincangan sebelum dilaksanakan.

Katanya, menyedari keletihan dan bebanan kerja petugas di PPV, pihaknya menasihatkan agar petugas bahagian suntikan lebih berhati-hati dan memeriksa jenis vaksin dan kandungan dos sebelum melakukan suntikan kepada penerima.

Katanya, petugas bahagian suntikan juga perlu menunjukkan kandungan vaksin yang terdapat dalam picagari sebelum dan selepas suntikan bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit seperti beberapa kes yang berlaku sebelum ini.

Terdahulu, tular di media sosial dan media seorang wanita berusia 30 tahun mendakwa ibunya berusia 58 tahun menerima suntikan dos kedua vaksin berbeza berbanding yang pertama.

Dalam tular itu dia mendakwa ibunya yang terdahulu menerima vaksin jenis Pfizer telah disuntik vaksin Sinovac pada Khamis lalu di PPV Dewan Al Hana, Sik Kedah.

Bagaimanapun, selepas menerima suntikan dos kedua itu, dia mendakwa ibunya tidak mengalami sebarang kesan memudaratkan dan tidak mahu memanjangkan perkara itu.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top