PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau mutasi baharu COVID-19 yang dikesan di Sabah daripada pelbagai sudut, merangkumi kadar kebolehjangkitan serta impaknya terhadap masyarakat.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mutasi baharu “A701B” itu dikesan selepas pihaknya melaksanakan ujian terhadap 60 sampel dalam Kluster Benteng LD.
“Kita kenal pasti mutasi A701B tetapi tidak pasti apa impak klinikal seperti berapa kadar kebolehjangkitan mutasi itu serta (bagaimana) keganasan virus (dalam mutasi itu).
“Virus COVID-19 ini sentiasa bermutasi cuma kita perlu tahu apa impak kesihatan daripada mutasi itu,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 semalam.
Beliau berkata mutasi baharu juga dikesan di beberapa negara antaranya Afrika Selatan, Australia, Belanda, dan Singapura.
Pada Isnin, Hisham berkata varian baharu atau nama saintifiknya “VUI 202012/01” yang merebak dengan cepat dan meluas di UK didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi.
Mengulas lanjut, Hisham berkata sebelum ini, pihaknya mengenal pasti kewujudan mutasi “D614G” di Kedah melibatkan Kluster Sivagangga serta di Johor dan Sabah.
“Mutasi D614G ini didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain,” katanya, dan menambah KKM akan memantau mutasi yang ada bagi mengesan apa kesannya terhadap keberkesanan vaksin. – FMT