KOTA KINABALU: KK Legasi akan menganjurkan Festival Tahun Baharu Cina dengan menampilkan Sabah Foldie Owners sebagai penganjur bersama disokong oleh ITCC Mall Penampang pada 28 hingga 30 Januari 2022.
Acara berkenaan akan menggabungkan vendor tempatan dari seluruh Sabah menawarkan pelbagai produk bukan sahaja sebagai persiapan Tahun Baharu Cina tetapi juga sebagai inisiatif membantu menggalakkan jualan peniaga yang terkesan teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk menelak penularan jangkitan COVID-19.
Pemilik KK Legasi Irwan Iswandy berkata, selepas kejayaan penganjuran Festival Krismas KK pada bulan lepas, penganjur acara itu menerima permintaan yang tinggi untuk meneruskan aktiviti sempena Tahun Baharu Cina.
“Sambutan Tahun Baharu Cina adalah sambutan bermakna bagi semua lapisan mesyarakat di Sabah kerana kita lahir dari masyarakat majmuk.
“Tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan, kita menyambutnya bersama demi semangat toleransi dan perpaduan.
“Kepada vendor pula, ini adalah masanya bagi mereka untuk menambah pendapatan, terutamanya ketika mereka terkesan teruk dengan keadaan semasa pandemik.
“Dengan ini, kami mengumumkan Festival Tahun Baharu Cina di ITCC Mall Penampang pada hujung bulan ini dari 28 hingga 30 Januari,” katanya.
Dalam tiga hari acara ini berlangsung, 60 vendor akan menawarkan pelbagai produk kepada pengunjung yang akan dihiburkan oleh Masmona Buskers.
Bagi menyempurnakan acara, tarian singa juga akan dipersembahkan pada hari Sabtu (29 Januari) manakala pertunjukan basikal lipat akan berlangsung pada pagi Ahad (30 Jan).
Penganjur bersama Sabah Foldie Owners juga akan meningkatkan kesedaran berkenaan berbasikal dengan sihat dan selamat.
Jurucakap Sabah Foldie Owners Ihsanuddin Mohd Yusup berkata, kumpulan basikal lipat itu akan menyediakan cabutan bertuah bernilai RM5,000 termasuk sebuah basikal lipat kepada peserta pertunjukan.
“Syarat untuk mengikuti cabutan bertuah ini adalah wajib membawa basikal lipat ke tapak acara dan membuat pendaftaran di meja pendaftaran selepas Fun Ride pagi.
“Seorang peserta hanya layak untuk satu tiket sahaja,” katanya.
Penganjur juga meingatkan pengunjung untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan oleh ITCC Mall Penampang.- Sabah360online