KK Bakal Dapat Datuk Bandar Wanita Pertama?

noorliza-datuk-bandar-kk.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Buat pertama kali sejak diisytiharkan sebagai bandar raya 20 tahun lalu, Kota Kinabalu dijangka mendapat seorang Datuk Bandar wanita.

Difahamkan, Noorliza Awang Alip yang kini merupakan ketua pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima jemputan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong, untuk menerima watikah perlantikan di pejabat ketua menteri pada Isnin.

Difahamkan surat jemputan itu tidak menyatakan jawatan yang bakal diterimanya, namun sumber memberitahu Noorliza bakal dilantik sebagai Datuk Bandar.

Surat berkenaan hanya menyatakan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju berhubung penyerahan watikah pelantikan di pejabat beliau, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

“Memang benar ada surat jemputan daripada SKN untuk Noorliza, namun tidak dinyatakan beliau akan dilantik sebagai Datuk Bandar.

“Bagaimanapun, ramai yang menganggap beliau (Noorliza) akan dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu, seperti mana Datuk Yeo Boon Hai yang dilantik pada 2016 juga merupakan ketua pengarah DBKK pada waktu itu,” kata sumber yang enggan dikenali.

Sekiranya benar, Noorliza akan menjadi wanita pertama menjawat jawatan Datuk Bandar Kota Kinabalu menggantikan Datuk Nordin Siman yang memegang jawatan itu sejak 31 Dis 2018.

Selain Nordin, turut pernah menjadi Datuk Bandar ialah Datuk Abd Ghani Abd Rashid (2000-2005), Datuk Iliyas Ibrahim (2005-2011), Datuk Abidin Madingkir (2011-2016) dan Datuk Yeo Boon Hai (2016-2018). – FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top