‘Kita Olah Politik Sabah Dengan Cara Kita di Sabah’, Hajiji Beritahu Muhyiddin

hajiji-1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menolak pandangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai peruntukan kerusi di Beluran selepas presiden Bersatu itu menegaskan ia sepatutnya diberikan kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Hajiji yang juga pengerusi Bersatu Sabah berkata, itu hanya pandangan Muhyiddin.

“Keadaan politik di Sabah berlainan dan ada keunikan… kita olahkan politik di Sabah dengan cara kita di Sabah,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Dalam pada itu Hajiji berkata GRS tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seiring dengan amalan demokrasi di negara ini.

Katanya, ini termasuklah keputusan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk bertanding mempertahan kerusi Parlimen Beluran atas tiket PN.

“GRS tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu bertanding pada PRU15 ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto PRU15 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam.

GRS dan Barisan Nasional (BN) meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Negeri Sabah pada PRU15 dengan pembahagian kerusi 13-12 namun Ronald bertindak mencalonkan dirinya mewakili PN di Parlimen Beluran yang diperuntuk kepada calon BN iaitu Benedict Asmat.

Ronald, penyandang kerusi Parlimen Beluran selama lima penggal, berdepan saingan lima penjuru menentang Benedict, Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang mewakili Pakatan Harapan.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah menjalin kerjasama dengan BN bagi mentadbir negeri ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top