Kit Siang Cadang Veveonah Ketuai Pasukan Pemantau Internet Sabah

veveonah.jpg
Kongsi Bersama

Penasihat DAP Lim Kit Siang sekali lagi mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi meninjau capaian internet di Sabah diketuai Veveonah Mosibin.

Lim berkata, cadangannya itu pasti mengejutkan banyak pihak memandangkan gadis itu berusia 18 tahun.

“Saya mencadangkan bulan lalu supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah menubuhkan pasukan petugas yang diketuai oleh Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun untuk melakukan tinjauan di Sabah.

“Untuk memastikan bahawa tidak ada lagi sesiapa pun yang perlu meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok atau berhimpun di atas jambatan gantung sehingga runtuh jambatan tersebut di kawasan pedalaman Sabah untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik demi mendapatkan pendidikan.

“Kita berada dalam satu era yang baru dan kita perlu bersedia untuk menggunakan kaedah baru untuk mengatasi masalah negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Veveonah yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mula menjadi tumpuan selepas videonya tular di media sosial berhubung usahanya yang bersungguh-sungguh untuk menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian.

Bagaimanapun disebabkan masalah liputan internet di rumahnya di Kampung Sabanalang di Pitas, pelajar asasi sains itu terpaksa memanjat pokok bagi mengatasi kekangan tersebut.

Video YouTube berjudul 24 Hours On Tree/Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok) itu dimuat naik pada 13 Jun – sehari selepas peperiksaannya tamat.

Sejak insiden itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga telah menawarkan biasiswa kepada Veveonah untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana muda di universiti itu.

Veveonah turut mencuri perhatian apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa dia memuat naik video berkenaan di Youtube sekadar untuk menarik tontonan dan bukannya kerana masalah internet.

Bagaimanapun Veveonah menafikan dakwaan itu. Zahidi telah memohon maaf dan mengakui terkhilaf semasa membuat tuduhan terhadap gadis berkenaan.

Dalam pada itu Lim turut menyorot kisah Jocelyn Yow, yang berketurunan Cina Malaysia-Vietnam yang dilantik menjadi Datuk Bandar Eastvale di California yang menjadi bualan ramai.

Katanya, Malaysia akan sekali lagi menjadi bualan di seluruh dunia sekiranya Veveonah dilantik sebagai pengerusi pasukan tugas khas Kerajaan Persekutuan-Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah sambungan internet di kawasan pedalaman Sabah bagi melancarkan proses pembelajaran atas talian semasa wabak Covid-19.

“Perkara ini akan menjadi bukti yang Malaysia menghargai sumbangan golongan muda, wanita, dan minoriti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara, terutamanya masalah yang dihadapi oleh golongan muda dalam pembelajaran atas talian.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top