KOTA KINABALU: Tidak lama selepas PBS dan STAR umum akan sokong calon tunggal Gabungan Rakyat Sabah bagi mengelakkan pertembungan, STAR menyeru pengundi memilih calon baharunya, Kenny Chua (gambar), yang bersaing dengan calon PBS di DUN Inanam.
Chua, yang sebelum ini bertanding sebagai calon Bebas, diperkenalkan sebagai ahli baharu STAR oleh Timbalan Setiausaha Agung, Ardino Diris, petang tadi. Bekas naib pengerusi PKR Sabah itu berikrar akan memenangkan Inanam untuk STAR.
“Kemenangan Kenny adalah kemenangan untuk Perikatan Nasional, kita perlu kemenangan kerana masalahnya kita dilanggar oleh parti-parti yang dianggap adik beradik tapi tikam dari belakang,” katanya ketika berucap di majlis serahan kad kehalian STAR kepada Chua di Manggatal hari ini.
“Kalau sebelum menjadi kerajaan mereka sudah mengkhianati kepada perdana menteri, awal-awal lagi sudah langgar kerusi rakan, nanti macam mana pula?”
Perkembangan ini menyusuli suatu persetujuan antara PBS dan STAR, yang menyaksikan PBS mengumumkan calonnya di DUN Tambunan dan DUN Bingkor akan menghentikan kempen masing-masing untuk menyokong calon STAR. STAR pula mengumumkan calon Bebas di Bengkoka dan Api-Api yang dikaitkan dengannya bersetuju untuk menghentikan kempen masing-masing.