Kisah Keberanian Saudin Labutau Beri Inspirasi Kepada Generasi Muda – Hajiji

saudin.jpg

Hajiji mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh anak lelaki Saudin, James Julius Saudin semasa tayangan perdana dokumentari “Saudin The Orang Utan Whisperer”.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kisah keberanian Saudin Labutau menjadi orang Murut pertama menjejakkan kaki di New York pada 1936 seharusnya menjadi inspirasi orang ramai khususnya generasi muda.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata kisah Saudin yang menempuh pelbagai cabaran untuk mengembara dari Borneo dan berjaya sampai ke New York kira-kira 86 tahun lalu sangat menarik.

Saudin yang berasal dari Kampung Ambual Keningau melakukan perjalanan terbabit semasa berumur 26 tahun selepas diupah pembuat filem hidupan liar pertama dunia, Martin dan Osa Johnson.

Beliau bekerja dengan pasangan itu untuk mengendalikan hidupan liar Borneo yang ditangkap dan mengiringi haiwan itu ke New York.

Hajiji berkata walaupun Saudin tidak mempunyai pendidikan asas, dia seorang yang tidak mudah gentar serta berani dan menghadapi cabaran.

“Walaupun tugasnya hanya sebagai penjaga haiwan termasuk orang utan dipanggil ‘Abai’ di New York, kita tidak dapat membayangkan semua halangan yang dilalui Saudin semasa berhijrah di dunia asing yang jauh dari keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran tayangan perdana dokumentari “Saudin The Orang Utan Whisperer” dan pameran ‘Kembara Orang Murut Pertama ke New York – 1936’ di Galeri Azman Hashim di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Hajiji berkata beliau memberikan sokongan penuh selepas melihat dokumentari terbabit yang diterbitkan sendiri oleh waris Saudin bulan lalu.

Saudin meninggal dunia pada tahun 1986.

“Apa yang diusahakan ini adalah warisan Saudin, kisah ini bukan sahaja untuk waris serta anak-anaknya tetapi keberaniannya harus dicontohi oleh semua terutama generasi muda.

“Sikap berani serta bersemangat waja ketika menghadapi cabaran dan tekad untuk tidak berhenti belajar sesuatu yang baharu perlu diamalkan,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji turut memuji Rye Production Sdn Bhd dan semua pihak yang terlibat dalam penghasilan dokumentari terbabit yang akan turut disiarkan di History Channel Asia.

“Dokumentari ini tidak ternilai berikutan memfokuskan kepada anak jati Sabah seterusnya menarik perhatian kepada imej unik Borneo yang menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top