KIR miskin tegar Sabah menurun 42 peratus setakat bulan lepas – Tun Juhar

CM-Tun-Juhar-DUN.jpg

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menerima Teks Ucapan Dasar Kerajaan daripada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sempena Istiadat Pembukaan, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di Bangunan DUN Sabah, hari ini. Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni. - Foto BERNAMA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Sabah menurun 42 peratus kepada hanya 13,179 orang setakat bulan lepas berbanding 22,510 orang pada September tahun lepas, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata penurunan itu hasil pemurnian data KIR miskin tegar, pemadanan bantuan atau intervensi KIR melibatkan badan berkanun negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan serta kolaborasi dengan pemain industri.

“Selain pelaksanaan program pembasmian kemiskinan sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama semua Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan dan pemain industri sedang melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar.

“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam usaha membasmi insiden kemiskinan khususnya menoktahkan miskin tegar di Sabah,” katanya dalam Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini pada Khamis.

Beliau berkata program membasmi miskin tegar itu juga dilaksanakan berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang meliputi lima teras utama bagi tujuan pemadanan bantuan atau intervensi bersesuaian kepada miskin tegar iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

Sementara itu, Tun Juhar berkata usaha memberikan akses Internet jalur lebar melalui teknologi Very Small Aperture Terminal atau VSAT Starlink di 26 daerah di Sabah telah memberikan kesan yang memberangsangkan terutama untuk komuniti di kawasan terpencil dan pedalaman.

Beliau berkata 219 lokasi di negeri itu telah dipasang VSAT Starlink berkelajuan 100Mbps dinikmati 60,328 komuniti terpencil dan pedalaman, manakala pemasangan sasaran 300 lokasi dijangka dapat dicapai pada Jun ini bagi mengatasi jurang digital komuniti itu.

Mengenai usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur rakyat, Tun Juhar berkata 18 projek sebagai penyelesaian serta-merta isu bekalan air di Kota Kinabalu dan Putatan akan dilaksanakan tahun ini, memperlihat tekad kerajaan negeri mengatasi isu yang dihadapi rakyat kini.

“Kerajaan juga berusaha untuk menurunkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (NRW) dengan menyelesaikan masalah penyambungan haram melalui penguatkuasaan dan pengurusan pengurangan kadar NRW itu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang giat untuk menyediakan infrastruktur, utiliti dan jaringan komunikasi yang mampan bagi menyokong aktiviti sektor utama di samping meningkatkan taraf hidup rakyat, justeru keutamaan terus diberikan untuk memperhebat ketersambungan jaringan jalan raya negeri.

“Ini terutama usaha melalui Projek Lebuhraya Pan Borneo. Daripada 35 pakej kerja, sebanyak empat pakej kerja dengan jarak keseluruhan 41.7 km telah berjaya disiapkan. Sebanyak 15 pakej kerja sedang dalam peringkat pembinaan dengan dua akan siap pada tahun ini, dengan selebihnya tahun hadapan.

“Baki 16 pakej kerja sedang dalam proses tender dan kerja-kerja pembinaannya akan bermula pada tahun ini. Tumpuan juga akan diberikan bagi memperkasa pengurusan projek infrastruktur di negeri ini agar lebih cekap dan efisien,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top