Kinabalu UNESCO Global Geopark Habitat 355 Spesies Burung – Penyelidik

kinabalu-geo-park.jpg

Dengan pelbagai sumberjaya pelancongannya, Sabah sentiasa menarik kunjungan pelawat.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kinabalu Global Geopark yang baru-baru ini diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ialah kawasan habitat bagi 355 spesies burung yang terdiri daripada 63 famili.

Penyelidik alam sekitar tempatan Alim Biun berkata sebanyak 267 daripada jumlah spesies burung itu mendiami kawasan tanah rendah, 52 spesies di tanah tinggi, manakala selebihnya didapati tinggal di kawasan tinggi dan rendah.

Bekas pegawai penyelidik Taman-Taman Sabah itu berkata burung Siul Kepala Merah (Crimson-headed Patridge), merupakan satu daripada spesies burung unik yang terdapat di kawasan hutan tanah tinggi Taman Sabah, antara julat ketinggian 1,000 hingga 3,000 meter.

“Ini menyebabkan taburan spesies burung ini agak terhad di Borneo bermula dari Gunung Kinabalu ke Gunung Menyapa (Sabah, Sarawak Timur, Kalimantan) dan pergunungan terpencil di Tenggara Sabah seperti Taman Bukit Tawau dan Maliau Basin.

“Siul Kepala Merah ialah monotip (spesies tersendiri atau tunggal), bersifat pemalu dan sukar untuk dilihat atau didekati jika tidak berhati-hati apabila bergerak di dalam hutan.

“Burung ini boleh dikesan melalui ciri bunyi yang kuat tetapi susah kelihatan kerana terlalu liar dan selalu berada di tempat yang semak untuk mencari makanan,” katanya kepada Bernama.

Pada 26 Mei lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata negeri itu kini menjadi lokasi ketiga di dunia memiliki “Triple Crown”, berikutan pengisytiharan Geopark Negara Kinabalu sebagai The Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Kinabalu UNESCO Global Geopark dengan keluasan 4,750 kilometer meliputi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian daerah Ranau terletak di kawasan pantai barat Sabah.

Alim, 66, yang bersara daripada Taman-Taman Sabah pada 2019, telah melakukan penyelidikan pada 1996 dan 1997 untuk mengetahui taburan kepelbagaian spesies burung mengikut julat ketinggian khususnya di Gunung Kinabalu.

Beliau juga terlibat sebagai rakan saing kumpulan penyelidik dari Universiti of Montana, Amerika Syarikat, untuk melakukan satu projek penyelidikan jangka panjang tentang musim burung bertelur di Taman Kinabalu.

Katanya, projek itu dijalankan selama 10 tahun tetapi terhenti akibat pandemik COVID-19, dan hasil dapatan awal penyelidikan itu mendapati burung kurang aktif bertelur apabila terlalu kering atau terlalu basah dalam tempoh musim bertelur.

“Setakat ini tidak ada spesies burung yang endemik khusus di kawasan Taman Kinabalu,” katanya. -BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top