KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau) berkata kementeriannya kini dalam proses penyediaan dokumen pencalonan Kinabalu Geopark sebagai tapak UNESCO Global Geopark.
“Pengiktirafan dan penjenamaan antarabangsa Kinabalu Geopark meningkatkan pengiktirafan kepada usaha kerajaan Negeri dalam pemeliharaan alam semula jadi. Ia juga memberi kesan berantai seperti peluang pemasaran produk dan perkhidmatan tempatan dapat diketengah serta ditambah nilai,” katanya di Sidang DUN Sabah di sini, semalam.
“Ia juga dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam bidang perkhidmatan berkaitan pelancongan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Raime Unggi (ADUN dilantik) yang ingin tahu usaha kementerian menjaga hutan asli dan hidupan liar selaras menjadikan Sabah destinasi pelancongan dunia.
Jafry berkata Kinabalu Geopark diisytiharkan tapak Geopark Kebangsaan pada 18 Mac lepas merangkumi kawasan Taman Kinabalu, keseluruhan daerah Kota Belud, Kota Marudu, dan sebahagian daerah Ranau dengan keluasan 475,000 hektar.