Kim Swee Diberi Kebebasan Pilih Pemain Sabah FC – Jelani

kim-swee.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee (gambar) diberi kebebasan dalam menentukan barisan pemain pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Pengarah Sabah FC Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, tiada pihak termasuk beliau atau Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin berhasrat untuk campur tangan dalam pemilihan pemain sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada kepakaran Kim Swee bagi menilai pemain terbaik.

Dr Jelani

Beliau berkata, Kim Swee amat serius dalam menentukan pemain dan hanya individu yang menepati kriteria bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya itu akan diambil bagi memperkuat cabaran skuad The Rhinos musim depan.

“Kami bukan pakar dalam bola sepak, jadi tugas kami ialah untuk urus Sabah FC dan SAFA dengan baik. Tugas Datuk Ong (Kim Swee) pula ialah mencari siapa pemain terbaik dan macam mana untuk menang… itu sahaja,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Jelani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas pemain pasukan itu Rozaimi Abd Rahman yang mahu kembali ke pangkuan Sabah FC dan keluhan itu tular di media sosial sehingga ada warganet mendakwa Sabah FC ‘menganaktirikan’ anak jati Sabah sendiri.

Beliau berkata Sabah FC terbuka untuk menerima mana-mana pemain termasuk Rozaimi menyertai pasukan itu namun mereka yang berminat perlu menghadiri sesi ujian dan memenuhi kriteria ditetapkan Kim Swee.

“Rozaimi boleh berjumpa dengan kita ataupun kita akan bagi peluang kepada dia untuk sesi ujian. Kita cuba dulu sebab kita tidak boleh ambil pemain begitu sahaja… terbuka sama ada anak jati Sabah atau tidak kita boleh ambil kalau menepati kriteria yang ditentukan oleh Datuk Ong,” katanya.

Rozaimi sebelum ini beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun bekas penyerang kebangsaan itu dan skuad Lang Merah bersetuju untuk penamatan kontrak lebih awal antara kedua-dua pihak pada Ogos lepas.

Bagaimanapun, Jelani berkata Sabah FC kini akan terlebih dahulu menumpukan kepada kempen Piala Malaysia musim ini sebelum membuat perancangan bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan.

Sabah FC bakal berdepan Melaka United FC dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium Likas malam ini sebelum aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka pada Khamis depan.

— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top