KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) bagi pembinaan sebuah kilang baja nano berteknologi tinggi di Lahad Datu.
Pengurus besar SLDB Syaheddrul R Joddari berkata MoU itu merupakan salah satu pelan strategik SLDB untuk 2022-2026.
Jelasnya, antara objektif SLDB adalah untuk membangunkan masyarakat luar bandar di Sabah berasaskan pertanian dan memastikan bahan-bahan pertanian seperti baja dapat dibeli pada harga yang berpatutan.
Tambahnya, MoU itu juga akan membolehkan SLDB mempelbagaikan aktiviti perniagaannya melalui penjualan baja ke ladang dan petani di Sabah serta ke pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina.
Syaheddrul juga berkata faedah lain daripada MoU itu ialah mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di Sabah.
“Penubuhan kilang baja itu juga selaras dengan saranan Kerajaan Negeri melalui Sabah Maju Jaya (SMJ) dan merupakan persediaan awal SLDB untuk menjadi agensi ‘Food Security’ di Sabah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif DFSB Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain berkata DFSC akan membangunkan kilang baja nano dengan SLDB di atas tanah seluas 10 ekar di Silabukan, Lahad Datu.
Katanya, kerjasama itu akan dimulakan dengan meneliti keberkesanan produk baja premium teknologi Nano keluaran DFSB pada pokok kelapa sawit.
Katanya, kajian itu telah menunjukkan hasil yang lebih baik dan baja teknologi Nano juga berkesan dalam mengurangkan penyakit Ganoderma pada anak pokok.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin di Kuala Lumpur baru-baru ini.