Oleh: Yussof J. Imbang
KOTA KINABALU: Sabah yang menerima pelaburan RM2 bilion untuk membangunkan lombong klinker dan simen bersepadu terbesar di negeri ini dijangka memulakan pembinaan sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusan, Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Micheal Kinsuan berkata, pihaknya kini hanya menunggu proses akhir kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kami akan memulakan kerja-kerja fasa pertama sebaik sahaja mendapat ‘lampu hijau’ daripada JAS.
“Pada masa kini kita sedang menyediakan kerjasama dengan semua jabatan terlibat sebagai prosedur akhir sebelum mendapat kelulusan daripada JAS, ” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, hari ini.
Bagaimanapun, katanya pembinaan jalan raya berturap sejauh 26 kilometer akan dilaksanakan terlebih dahulu dari Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang BCS.
Jelas Micheal, bekalan elektrik (39km) dan bekalan air (3km) akan dibina serentak dengan menara telekomunikasi sejauh 60 kilometer yang turut dinikmati penduduk sekitar.
Menurut Micheal, Kerajaan Negeri telah mewartakan 700 ekar untuk tapak kilang dan kuari di Bukit Sinobang, Kampung Kawayoi, 130 kilometer dari Pekan Tongod.
Kawasan seluas 500 ekar diperuntukkan untuk tapak kuari klinker, sementara 200 ekar lagi untuk tapak kilang, pembungkusan, pejabat operasi dan kuaters pekerja.
Jelasnya, seramai 1,000 tenaga kerja diperlukan di mana 20 peratus daripadanya adalah tenaga mahir, manakala selebihnya pekerja separuh mahir serta individu berkelayakan dalam bidang berkaitan.
Micheal berkata, terdapat enam bahan utama yang diadun untuk dijadikan klinker sebelum diproses menjadi simen.
Semua bahan mineral itu katanya, ditemui di kawasan cadangan kuari antaranya ialah batu kapur, arang batu, tanah liat, batu pasir dan syal untuk membuat klinker.
Hanya satu bahan, gipsum, yang perlu diimport dari luar negara, tetapi hanya 5 peratus daripada campuran itu diperlukan untuk menghasilkan simen.
Micheal menjelaskan, operasi kilang ini akan dilengkapi dengan mesin automatik dan ia akan dikawal secara digital melalui komputer.
Stone Roller Conveyor (penghantar rolling batu) akan digunakan sepanjang 3.0 km dari kuari ke kilang pemprosesan simen.
Mengulas lanjut mengenai projek itu, Micheal berkata, BCS juga turut membina klinik kesihatan di Kampung Kawayoi selain menaik taraf bangunan surau dan gereja di kawasan berdekatan.
Cadangan projek itu dilaksanakan sebuah syarikat tempatan, Setia Alam Setia Sdn Bhd dengan kerjasama SEDCO melalui kontraktor turnkey yang berpangkalan di China.
.