Kilang klinker simen bersepadu; 1,000 peluang kerja, pelbagai kemudahan asas untuk warga setempat

IMG-20240118-WA0000.jpg
Kongsi Bersama

Yussof J. Imbang

TONGOD; Kerajaan negeri mewartakan 700 ekar untuk tapak kilang klinker dan simen bersepadu bernilai RM2 bilion di Kampung Kawayoi terletak 130 kilometer dari Pekan Tongod.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS) Datuk Masiung Banah berkata, daripada jumlah keluasan itu, 200 ekar akan digunakan  untuk mendirikan kilang dan kuaters pekerja.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dijangka akan melakukan upacara perasmian pecah tanah pada April tahun ini, katanya selepas majlis dialog bersama penduduk yang terlibat dengan projek tersebut di Kampung Kawayoi, semalam.

“Apabila beroperasi kilang itu bakal menyediakan 1,000 pekerjaan yang akan ditawarkan kepada warga tempatan.

“Selain itu, kilang berkenaan juga akan membina jalan raya berturap sejauh 26 kilometer daripada Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi menerusi Inarad,” katanya.

Menurut Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, selain pembinaan jalan raya, lebih 5,000 penduduk kampung berdekatan turut menikmati pelbagai kemudahan asas.

Sementara itu, Pengurus Besar BCS, Micheal Kinsuan berkata, pihaknya juga akan membina loji air terawat, stesen janakuasa elektrik 40MW dan menara telekomamunikasi.

Jelasnya, BCS juga akan mendirikan klinik   termasuk menaiktaraf masjid dan gereja sedia ada di kawasan terbabit untuk kemudahan penduduk tempatan.

Katanya, semua infrastruktur dan kemudahan asas yang disediakan itu akan dinikmati penduduk-penduduk di Kampung Kawayoi, Inarad, Susui, Langga dan Tudingan.

Micheal berkata, pembinaan jalan raya dan kemudahan asas itu menelan belanja sebanyak RM350 juta.

Katanya, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) juga turut merancang mewujudkan kompleks pekan baharu di Kampung Kawayoi yang dilengkapi dengan kemudahan balai polis dan bomba.

Apabila beroperasi, kilang klinker dan simen itu mampu mengeluarkan sebanyak 5,000 tan sehari atau 1.5 juta tan setahun bagi menampung keperluan simen di Sabah.

Beliau memberi jaminan, harga simen akan lebih murah di pasaran tempatan sebaik sahaja kilang itu beroperasi sepenuhnya.

Menurut Micheal, selain untuk pasaran tempatan pengeluaran simen akan dieksport ke negara jiran di Asia.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kumpulan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), Haidar Razif Hisyam bin  Ajaz Nabizam, Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domal Ulok dan Timbalan Pengurus Besar Sedco, Hj. Azrul Hj. Ahmad.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top