SEREMBAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengalu-alukan hasrat pengeluar kaca inovatif, Kibing Group (M) Sdn Bhd untuk mendirikan kilangnya bernilai RM10 bilion di Sabah.
Semasa melawat kilang kaca canggih itu atas jemputan pengurusannya yang terletak di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar di sini di Negeri Sembilan pada Ahad, Hajiji berkata Kerajaan Negeri akan memudahkan pelaburan bagi memastikan projek yang dicadangkan itu dapat dilaksanakan tidak lama lagi.
Bagi tujuan itu satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.
“Jawatankuasa ini akan memantau serta mempercepatkan proses pelaburan termasuk keperluan Kibing Group bagi mendapatkan sumber bahan silica gred tinggi.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan Kibing Group (M) Sdn Bhd untuk membina kilang mereka di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, Hajiji yang diiringi Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Setiausaha Tetap Pembangunan Perindustrian Thomas Logijin, diberi taklimat oleh Pengerusi Kumpulan Kibing Yu Qi Bing dan Presiden Dato’ Lim Swee Ee .
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan mengawal selia pelaburan berkenaan bagi memastikan cadangan projek itu dapat dilancarkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Yu menjelaskan pihaknya akan melabur sejumlah RM10 bilion untuk membina kemudahan yang lebih besar di Sabah dengan kos fasa pertama bernilai RM2 bilion.