Khidmat Doktor Kontrak Dilanjut 2 Tahun – PM

tsmy.jpg
Kongsi Bersama

Kerajaan hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat dengan menawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah penyelesaian segera itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

“Sebagai langkah penyelesaian segera, kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

“Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, langkah ini juga bagi memastikan pegawai-pegawai yang berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Menurut Muhyiddin, bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, jemaah menteri juga bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan hadiah latihan persekutuan.

“Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal,” katanya.

Jelas Muhyiddin, keputusan-keputusan itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Selain itu, Muhyiddin berkata dia juga mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan untuk merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu yang timbul sebelum ini.

“Ia merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang Covid-19 dan kerajaan akan terus komited untuk memastikan kebajikan dan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top