Khalid Sahkan 3 ADUN AMANAH Sertai PKR

Amanah-lompat-PKR.jpg
Kongsi Bersama

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengesahkan tiga Adun di Johor meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR, sekutunya dalam Pakatan Harapan.

Portal berita FMT melaporkan bahawa Khalid memberitahu, tindakan tiga wakil rakyat itu tidak mengejutkan kerana khabar angin berhubung pemergian mereka sudah tersebar buat seketika.

Tetapi, katanya, tindakan mereka tidak menjejaskan hubungan dalam PH atau antara PKR dan Amanah, serta Adun itu kekal komited kepada gabungan terbabit.

Khalid juga dilaporkan berkata, seorang daripada Adun itu dipetik satu laporan berita sebagai berkata, mereka mahu menjadi calon kerusi Parlimen.

“Mungkin mereka merasakan PKR akan bertanding lebih banyak kerusi, peluang mereka menjadi Ahli Parlimen lebih baik dalam PKR berbanding Amanah.

“Ia jelas mengecewakan, tetapi kami tidak mengugut orang. Terpulang kepada kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap parti. Jika mereka merasakan boleh mendapat peluang lebih baik dalam parti lain, mereka bebas membuat keputusan sendiri.

“Selagi mereka tidak mengorbankan prinsip mereka untuk memperjuangkan keadilan dan semuanya. Maka, kami bersyukur.”

Sebelum itu Malaysiakini melaporkan Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) meninggalkan Amanah untuk menyertai PKR.

Khairuddin dilaporkan berkata, permohonannya menyertai PKR dihantar Oktober tahun lalu dan beliau melompat parti kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Khalid berkata, tiga Adun itu tidak dipecat parti, tetapi tindakan mereka menyertai PKR bermakna keahlian mereka dalam Amanah ditamatkan secara automatik.

Ditanya jika kekurangan peluang menjadi calon tidak akan menggalakkan orang ramai menyertai Amanah, katanya, mereka yang mahu menyertai parti itu perlu memahami wawasan dan perjuangannya.

“Saya tidak fikir ramai (dalam parti) yang mahu menjadi calon.

“Bagi Amanah, ketika anda berada dalam parti, kami tidak menjamin anda boleh menjadi calon. Jika anda percaya perjuangan kami, maka anda sentiasa dialu-alukan. Tetapi, kami tidak dapat menjamin semua orang boleh menjadi calon.”

 

Disiarkan pada Sabtu, 27 Februari 2021

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top