RANAU: Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin menyampaikan peruntukan sebanyak RM38,500 untuk pembangunan infrastruktur di Kampung (Kg) Maukab, di sini.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata, peruntukan itu adalah untuk membiayai baik pulih tandas, polypipe graviti dan lantai Dewan Mini di kampung tersebut.
“Selain itu, ia juga digunakan untuk pembangunan pelancongan dan membiayai kos majlis Hari Natal peringkat kampung pada tahun ini.
“Kelulusan peruntukan itu adalah keprihatinan pihak kerajaan dalam membantu keperluan penduduk di daerah ini,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Natal peringkat Kg. Maukab, di sini.
Jonathan turut mengambil kesempatan dalam majlis tersebut untuk beramah mesra dengan penduduk di sana.
Katanya, sambutan Hari Natal ini perlu dijadikan platform untuk mengekalkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri Sabah.
“Kita tidak mahu perpaduan yang sedia terjalin di negeri ini pupus kerana terdapatnya golongan ekstrem agama dan menjadikan politik untuk memecah belahkan kaum.
“Jadikan perayaan Natal untuk mengeratkan lagi persaudaraan dan keharmonian serta menjadi contoh kepada masyarakat di negeri lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kg. Maukab, Mairin Yeduling menyifatkan Jonathan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap masalah penduduk di daerah ini.
“Kami sangat bertuah dan bersyukur kerana pemimpin di daerah ini sangat prihatin serta selalu turun padang membantu meringankan masalah yang ditanggung oleh penduduk di sini,” katanya.