Keunikan Budaya, Adat Resam Di Sabah Aset Paling Penting

kaamatan-tenom.jpg

Upacara memasukkan padi ke dalam tangkob oleh Ellron (empat dari kiri), disaksikan oleh dan Peter (kanan) dan Rubin (tiga dari kiri).

Kongsi Bersama

TENOM: Keunikan budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum dan budaya yang wujud di Sabah ini adalah aset yang paling penting, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

“Dengan keindahan semulajadi yang bertaraf “World Class” dan “World Heritage”, kita perlu memupuk rasa cinta dan sayang kepada alam semulajadi serta menjaga khazanah alam semulajadi yang begitu unik dan indah.

“Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama memelihara alam semulajadi dan memantapkan lagi perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian kebudayaan sesuai dengan tema pest Kaamatan pada tahun in “Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi”,” katanya semasa merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tenom/Kemabong 2022 yang diadakan di Dewan DSP Antanom di sini kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin.

Ketua Menteri berharap, Pesta Kaamatan pada tahun ini akan terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada semua untuk memperkasakan lagi semangat perpaduan serta memastikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran rakyat dan negara khususnya Negeri Sabah turut terpelihara.

Kata Hajiji, Pesta Kaamatan merupakan satu perayaan yang diraikan pada setiap tahun oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) merupakan satu budaya yang mereka warisi sejak zaman-berzaman.

“Pesta ini bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim.

“Sesungguhnya, Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di negara ini untuk hidup aman damai dan bersatu padu walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom / Kemabong 2022 yang diketuai Mas Syazwan Masood, Pegawai Daerah Tenom dalam menjayakan program serta aktiviti di acara tersebut.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap merangkap Pengerusi Pelaksana Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom / Kemabong Tahun 2022, Datuk Peter Anthony; ADUN Kemabong merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Rubin Balang; Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali; Pegawai Daerah Tenom merangkap Pengerusi Induk Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom/Kemabong Tahun 2022, Mas Syazwan Haji Masood; dan Pembantu Pegawai Daerah (ADO) Kemabong merangkap Timbalan  Pengerusi Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tenom/ Kemabong, Zakharia Jamal.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top