KOTA KINABALU: Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Senior Asisten Komisioner Datuk M Chandra (gambar) disahkan meninggal dunia di sini awal pagi tadi, lapor Utusan Borneo.
Menurut akhbar itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun semasa dihubungi mengesahkan perkara itu.
Jauteh berkata, masa sebenar kematian rakan sepasukannya itu belum diketahui, bagaimanapun Chandra kini sudah dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKK) untuk tujuan bedah siasat.
“Saya tidak dapat memberikan masa kematian sebenar kerana saya masih menerima mesej terakhirnya pada jam 5.18 pagi tadi.
“Pihak HWKK Likas hanya memaklumkan mendiang sudah meninggal dunia pada jam 8 lebih hari ini.
“Punca kematian juga belum dapat dipastikan dan mendiang kini sedang berada di hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar,” katanya.
Jauteh berkata, Jenazah mendiang dijangka akan dibawa ke Wisma Fook Lu Siew, Kota Kinabalu untuk upacara memperingati dan penghormatan terakhir sebaik proses bedah siasat selesai.
Kehilangan mendiang sangat besar dan amat dirasai seluruh warga Sabah kerana perkhidmatan dan jasanya menabur bakti memastikan keselamatan Sabah terpelihara sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1994 dan pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu pada 2014 hingga 2018.