Ketua saintis bagi kajian klinikal vaksin Sinovac Indonesia, Dr Novilia Sjafri Bachtiar (gambar) dilaporkan meninggal dunia, disyaki akibat jangkitan virus Covid-19, semalam.
Reuters memetik laporan media Indonesia, jenazah Dr Novilia, 50-an, selamat dikebumikan di Cimahi, barat kota Bandung, dengan mengikut prosedur operasi standard Covid-19 yang telah ditetapkan.
Republik Indonesia yang menggunakan vaksin Sinovac secara meluas kepada jutaan penduduknya kini sedang berdepan ‘malapetaka’ apabila jangkitan Covid-19 terus meningkat dari sehari ke sehari.
Semalam sahaja negara itu merekodkan kes harian tertinggi baharu dalam tempoh 24 jam sebanyak 34,379 dan 1,040 kematian.
Menteri Perusahaan Negeri, Erick Thohir memuat naik kematian Dr Novilia di Instagram peribadinya sambil menyatakan Indonesia kehilangan seorang doktor yang banyak membantu republik itu dalam menangani Covid-19.
“Dr Novilia adalah saintis utama dan ketua bagi ujian klinikal yang dilakukan oleh BioFarma, termasuk ujian vaksin Covid-19 yang bekerjasama dengan Sinovac dari China.”
“Ujian telah dihasilkan dan puluhan juta rakyat Indonesia telah disuntik dengan vaksin Sinovac dan ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk melindungi rakyatnya supaya bebas dari jangkitan Covid-19,” katanya.
Menurut Kumpulan Data Bebas Lapor Covid-19, pada bulan Jun sebanyak 131 orang pekerja kesihatan meninggal dunia setelah menerima suntikan vaksin Sinovac dan 50 kematian pada awal Julai. – Agensi