Ketua Pemuda UMNO Pontian Gesa Zahid Berundur

ketua-pemuda-pontian.jpg
Kongsi Bersama

Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang mempertahankan pendiriannya supaya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat secara terhormat meskipun berdepan tindakan parti.

Helmi, sebagaimana dilaporkan oleh portal Malaysia kini berkata, apa yang disuarakannya adalah pandangan peribadi mahu melihat parti itu kembali meraih kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Saya reda, terpulang kepada pucuk pimpinan parti jika nak hukum saya.

“Saya pejuang UMNO, bukan pejuang individu. Kita nak yakinkan rakyat, jika undi 18 dilaksanakan, UMNO akan dilihat lemah dan mereka (pengundi muda) beralih kepada parti lain.

“Saya pertahankan pendirian (supaya presiden berehat) saya dan tak akan berpatah balik,” katanya kepada portal itu lagi.

UMNO Pontian dipimpin oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad.

Pemimpin kanan lainnya terdiri daripada tokoh UMNO pusat iaitu Timbalan Ketua Bahagian Datuk Seri Ahmad Maslan (Setiausaha Agung UMNO) dan Naib Ketua Bahagian Datuk Sumali Reduan (Setiausaha Kerja UMNO).

Menjawab soalan, Helmi bagaimanapun berkata keputusan itu adalah pendirian peribadinya.

Malaysiakini juga melaporkan pihaknya sedang cuba mendapatkan maklum balas pemimpin kanan lain UMNO Pontian.

Zahid pada 2018 pernah “bercuti” dan menyerahkan tugasnya, termasuk termasuk jawatan pengerusi BN, kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen UMNO keluar parti serta kritikan bahawa UMNO tiada hala tuju di bawah pimpinannya.

Selepas setahun, Zahid bagaimanapun kembali memegang jawatan itu.

Dalam pada itu, Helmi berkata dia meminta Ahmad Zahid berehat secara terhormat demi kepentingan parti.

Ia selepas melihat masih wujud “kluster” ataupun kelompok tertentu dalam UMNO yang cuba menjadi pencatur kuasa.

“Penyusunan semula parti tidak relevan, masih lagi ada kluster atau worlod (pemimpin berpengaruh) dalam UMNO yang bertanding untuk tentukan siapa berkuasa.

“Oleh itu presiden parti perlu berehat secara terhormat,” katanya lagi.

Helmi berkata, saranannya ini tidak mempunyai kaitan dengan kes mahkamah dihadapi Ahmad Zahid selain mengakui presiden UMNO itu bekerja untuk rakyat.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top