Oleh: AMIRUDDIN MOHD ROSDI
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Sabah di sini pada Ahad lepas.
Ketua Menteri yang tiba di pekarangan Pejabat PAS Negeri Sabah pada jam 11.05 pagi, disambut Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling bersama Setiausaha PAS yang juga pengarah sambutan Dr Aliakbar Gulasan serta pimpinan PAS Sabah yang lain.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP); Datuk Ir. Shahelmey Yahya Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan Khairul Faizi Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat.

Hajiji bersama Dr Aliakbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Sabah.
Majlis berkenaan turut dihadiri pemimpin-pemimpin parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, pengerusi dan jawatankuasa masjid.
Dr. Aliakbar ketika ditemui berkata, PAS Sabah merakamkan ucapan terima kasih khususnya kepada Ketua Menteri atas kesudian hadir ke majlis yang penuh bermakna itu.
Ketua Menteri dalam hantaran di Facebook rasminya menyatakan penghargaan kepada PAS Sabah atas undangan sekali gus yakin akan merapatkan lagi ukhuwah.
Majlis Rumah Terbuka PAS Sabah ini julung kali diadakan selepas PAS Sabah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.