Ketua Jabatan Negeri, Persekutuan Main Peranan Realisasikan SMJ

hajiji-ketua-jabatan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Semua ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan perlu memainkan peranan dalam usaha merealisasikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hala tuju SMJ memerlukan komitmen daripada semua pihak termasuk Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah bagi menyebar luas serta menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan negeri kepada masyarakat akar umbi.

“Kita meminta agar setiap jabatan kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk menjayakan dasar ini.

“Saya hanya boleh memberi idea serta pandangan, namun yang penting adalah komitmen jentera pelaksana iaitu ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan khas dengan JAPEN Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, disini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa.

Hajiji berkata, peranan JAPEN dalam menyebarkan maklumat akan dapat memberi kefahaman kepada rakyat sekaligus bersama-sama menjayakan hala tuju SMJ.

“Saya sendiri melihat bagaimana jabatan ini masuk dan keluar kampung untuk menyampaikan maklumat serta dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dalam pelbagai bahasa tempatan dan ini sangat baik.

“Saya percaya, setiap rakyat tanpa mengira suku kaum, keturunan ataupun  kepercayaan agama mesti mahu menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, slogan ‘Sabah Maju Jaya’ yang terdapat di jata Sabah sejak diperkenalkan pada tahun 1988 itu menjadi aspirasinya untuk membawa Sabah ke arah yang lebih membangun serta maju.

“Slogan SMJ setakat ini mendapat maklum balas yang baik daripada rakyat Sabah terutamanya dalam kalangan anak muda.

“Justeru, besar harapan saya agar semua ketua-ketua jabatan di negeri ini sama-sama merealisasikan hala tuju SMJ ini demi kemajuan Sabah,” katanya.

Halatuju SMJ 1.0 (2021-2025) telah dirasmikan oleh Hajiji pada 29 Mac lalu, dengan menggariskan  lima objektif iaitu membina negeri dan masyarakat bersatu, aman makmur dan sejahtera; mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; merangsang pemulihan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; dan membangunkan modal insan. – Penerangan


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top