KOTA KINABALU: Ketibaan lebih ramai pelancong dari Korea berikutan penyambungan semula penerbangan terus dari Seoul ke Kota Kinabalu oleh Air Busan telah memberikan sektor pelancongan Sabah peluang yang amat diperlukan berikutan kemerosotan akibat pandemik Covid-19.
196 penumpang penerbangan BX767 syarikat penerbangan tambang rendah itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 11.10 malam Jumaat lalu. Mereka disambut oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Ini merupakan penerbangan terus kedua dari Seoul selepas era pandemik. Penerbangan pertama oleh Jin Air pada 26 Mei lalu.
Joniston yang mengalu-alukan penerbangan itu berkata kehadiran pelancong-pelancong Korea itu memberi impak yang signifikan terhadap industri pelancongan Sabah.
“Kesanggupan dan keyakinan warga Korea untuk kembali ke Sabah merupakan petunjuk yang baik untuk negeri ini.
“Sementara kami ingin mempromosikan Sabah kepada pelawat antarabangsa, kami juga mahu menggalakkan penduduk tempatan memanfaatkan penerbangan terus ini dan meneroka Korea,” kata Bangkuai, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Ketua pegawai eksekutif STB Noredah Othman dan pengurus kanan lapangan terbang KKIA Sunif Naiman turut hadir.
Air Busan kini mengendalikan dua penerbangan mingguan ke Kota Kinabalu, pada hari Selasa dan Jumaat.
Sebuah lagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Korea, Jeju Air, dijangka memulakan semula penerbangan terus ke Sabah pada 29 Jun. Buat masa ini, ketiga-tiga syarikat penerbangan itu akan berlepas melalui Incheon.
Bangkuai dan Noredah berada di Seoul pada awal Mei untuk bertemu dengan pegawai tertinggi Jin Air, Air Busan, Jeju Air dan beberapa syarikat penerbangan Korea lain serta dua syarikat pelancongan terkemuka Korea Mode Tour dan Hana Tour.