Keterlaluan Kalau Kata Rakyat Sabah Tak Perlukan Bantuan – Hajiji

hajji.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Kenyataan Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), yang mengatakan rakyat Sabah tidak memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan adalah sangat negatif dan keterlaluan, kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya anggap ini satu komen yang sangat negatif. Rakyat memerlukan bantuan. Apa jua bantuan yang diberikan oleh kerajaan, rakyat akan terima dengan senang hati . Jadi kalau kita cakap rakyat Sabah tidak perlukan BR1M, tidak perlu bantuan Persekutuan, itu adalah sesuatu yang saya rasa sangat negatif.

“Itulah sebabnya kita bersama dalam Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat. Masih ramai lagi rakyat yang memerlukan bantuan. Agak keterlaluan kalau kita cakap bahawa rakyat tidak perlukan bantuan ,” katanya ketika ditanya tentang kenyataan Mohd Shafie dalam video yang diviralkan di media sosial.

Hajiji, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sub Markas PN PDM Kindu, Kampung Kindu.

Mengulas kenyataan Mohd Shafie yang mendakwa jika Hajiji menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu dia akan dikawal oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Hajiji berkata itu tidak betul.

“Saya sudah dewasa dan sudah lama berkecimpung dalam politik. Tidak ada satu orang yang boleh kawal apa yang tersirat dan apa perancangan saya. Jadi tuduhan Shafie adalah tidak betul.

“Saya juga minta Shafie janganlah mengheret macam Tan Sri Musa Aman, sebab dia tidak jadi calon (dalam Pilihanraya Negeri kali ini).

“Walaupun mungkin dia ada bantu dalam berkempen di beberapa kawasan, tetapi kenapa berikan tumpuan pada beliau, beliau dikutuk dengan bermacam-macam, saya ingat ini tidak adil bagi beliau, sehingga ada yang melampau, fitnah dan sebagainya.

“Isu kita ialah untuk memulihkan ekonomi rakyat, membantu rakyat dan masa depan negeri Sabah. Kenapa pula kita libatkan dan mengutuk orang lain yang tidak terlibat dalam pilihan raya ini. Bagi saya itu tidak berapa manis di dengar oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana untuk meningkatkan ekonomi kawasan Dewan Undangan Negeri Sulaman, Hajiji yang mempertahankan kerusi DUN itu berkata, dia mempunyai banyak perancangan untuk DUN berkenaan.

“Di Sulaman ini ada beberapa segmen masyarakat seperti nelayan, petani dan juga pekerja biasa. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu kumpulan-kumpulan sasar ini.

“Mereka memerlukan bantuan, tempat dan sebagainya. Ini kita akan lakukan kerana untuk menjana ekonomi kita perlu pelbagaikan punca pendapatan mereka. Jadi inilah caranya untuk mereka mendapat pendapatan dan menyara hidup.

“Saya tidak perlu perincikan tetapi dalam halatuju kita, bukan sahaja di kawasan Sulaman tetapi di peringkat negeri kita tidak boleh lupa dengan sektor-sektor yang boleh membawa kemajuan dan pendapatan kepada rakyat.

“InsyaAllah, di Sulaman, kita akan teruskan. Bukan sahaja daripada segi infrastruktur tetapi mana-mana yang masih kurang. Misalnya, di sebuah kampung yang saya telah lawati, masalah mereka dalam dua tahun ini mereka tidak mendapat bantuan untuk membaiki jalan raya, jambatan dan sebagainya. Insyallah, kalau kita diberikan mandat, kita akan lakukan yang terbaik.

“Dulu, saya tidak pernah tidak bagi peruntukkan kepada setiap kampung, terutama untuk membaiki jambatan, jeti, jalan raya dan sebagainya,”katanya.

Mengenai perkembangan kempen di kawasan DUN, Hajiji berkata dia amat yakin berdasarkan perjalanan program-program yang begitu baik PN boleh menang di kawasan Sulaman.- Sumber:.pr,/BNN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top