Kestabilan politik antara faktor Kerajaan Negeri GRS, PH Plus dapat tingkat pendapatan negeri

Dr-Yusof.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Kestabilan politik menjadi antara faktor Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus dapat meningkatkan pendapatan negeri dan rakyat mendapat manfaatnya.

Justeru itu, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusuf Yacob berkata, penting kepada semua pihak termasuk badan-badan keagamaan dan sekolah-sekolah bukan Islam untuk memberi sokongan kepada kerajaan.

“Penerima-penerima khususnya sekolah dan badan keagamaan ini mesti melihat secara menyeluruh supaya negeri kita ini terus aman, terus stabil dari segi politiknya.

“Dan kita lihat melalui Kerajaan GRS dan PH Plus, kita dapat memberi sumbangan yang lebih kerana pendapatan negeri bertambah.

“Pendapatan ini bertambah oleh kerana Negeri kita dibawah Kerajaan GRS dan PH Plus lebih stabil dan kita boleh menyusun pentadbiran negeri yang lebih baik dan kita berharap ini dapat kita teruskan,” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Badan Keagamaan dan Sekolah Bukan Islam Zon Pedalaman Bawah di Dewan Pa’Musa, kelmarin.

Majlis disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Roslan Muharam dan turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Juil Nuatim.

Bantuan kewangan yang diserahkan berjumlah RM6.2 juta melibatkan 48 sekolah, 100 gereja dan 28 tokong di daerah Papar, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Menumbok dan Sipitang.

Dr Yusof yang juga ADUN Sindumin berkata, pemimpin badan keagamaan dan sekolah-sekolah bukan Islam ini mesti memahami pentingnya sokongan kepada kerajaan untuk kestabilan politik.

“Ini demi untuk faedah bersama secara keseluruhan dan kita di Sabah ini dengan kepelbagaian kaum..kita tidak boleh ada konflik di antara agama di antara kaum, kita kena teruskan keamanan yang wujud,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memberikan bantuan kewangan kepada badan keagamaan dan sekolah bukan Islam yang menunjukkan Kerajaan Negeri memahami akan keperluan rakyat.

Menurutnya, bantuan kewangan ini sangat penting untuk sekolah-sekolah walaupun sekolah bukan Islam kerana sebenarnya orang Islam pun ada yang menjadi murid di sekolah ini.

Katanya, badan-badan keagamaan sangat penting juga untuk rakyat samada orang Islam atau bukan Islam kerana semua agama mengajar yang baik sebagai mengisi jiwa rakyat ke arah yang baik. – Jesselton Times

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top