Oleh: Jaafar Abd Wahid
KINABATANGAN: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bersiap siaga lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 dan mengelak daripada bekerja pada saat akhir.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah , Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, ini kerana tempoh kira-kira dua tahun sehingga tarikh tamat mandat PRN 16 pada tahun depan bukan jangka masa yang lama.
“Tidak lama lagi parti politik berdepan pilihan raya. Sebab itu kita kena sentiasa bersedia.
“Tidak mustahil PRN akan diadakan lebih awal dari tempoh tersebut dan jika pilihan raya diadakan lebih awal daripada tarikh akhir penggal (tempohnya akan jadi lebih singkat), kita perlu bersiap siaga dan melakukan persediaan lebih awal,” katanya ketika berucap merasmikan program pemukiman DUN Lamag dekat sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, Bung yang juga Ketua Umno Bahagian Kinabatangan mahu semua ahli dan pemimpin UMNO khususnya di DUN Lamag bersedia dengan strategi dan taktik untuk memenangi PRN kali ini.
“Kita perlu fokas membela rakyat, Umno sebagai sebuah organisasi yang bersistematik tidak menghadapi banyak masalah untuk melaksanakan gerak kerja jentera parti asalkan semua bersatu hati dan tahu peranan masing-masing,” katanya.
Bung berkata memang banyak serangan dari seteru politik dalam kempen termasuk di media sosial namun mereka lupa mereka dahulu di dalam parti yang sama tapi apa yang mereka lakukan selain mengejar pangkat dan kedudukan untuk kepentingan peribadi bukannya kepentingan rakyat.
“Justeru kita perlu menjuarai isu-isu rakyat. Rakyat sudah pasti tidak akan memberi sokongan kepada parti yang hanya lebih banyak bercakap ,banyak slogan tapi masalah rakyat terutamanya berkaitan isu pembangunan insfrastrktur asas masih menjadi beban kepada rakyat,” jelas Bung
Dalam perkembangan lain, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mahu setiap bahagian Umno di negeri ini aktif dalam penggunaan media sosial yang bukan sahaja menjadi medan hebahan segala program yang dilaksanakan tapi perlu memanfaatkan untuk menyampaikan isu berkaitan masalah rakyat serta menangkis serangan dari seteru politik terhadap pemimpin dan parti Umno.
“Kita faham mereka menguasai media sosial portal dalam talian kerana adanya bayaran kepada yang mengendalikanya, tapi kita jangan biarkan tanpa menangkis segala tomahan dan fitnah yang akhirnya akan menjadi membentuk persepsi negatif rakyat sebagai pembaca,” katanya. – Jesselton Times